Melaka miliki tokoh ulama terkenal

KOTA BHARU: Melaka tidak ketandusan ulama terkenal biarpun negeri itu lebih dikenali dengan keperwiraan pahlawan Hang Tuah.

Malah, tokoh ulama Melaka pada era kegemilangannya dianggap sebaris dengan ulama di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Antaranya Haji Abdul Wahid Osman dan anaknya, Tuan Guru Jalaluddin Wahid.

Maka bagi mengembalikan semula kegemilangan itu Yayasan Amanah Tok Kenali Kelantan akan menganjurkan Seminar Pemikiran Tokoh Tarbiah 2.0 yang mengetengahkan dua tokoh tarbiah dari Melaka.

Pengarah Yayasan Amanah Tok Kenali, Zulqarnain Hassan berkata, Melaka juga terdapat tokoh ulama yang mempunyai sumbangan besar dalam bidang ilmu, dakwah dan tarbiah di negara itu.

Katanya, pengkisahan mengenai Muallim Haji Abdul Wahid turut akan disampaikan dua anak kandungnya iaitu Ustaz Jamiruddin Abdul Wahid dan Ustaz Muhammad Fardullah Abdul Wahid.

“Seminar itu diadakan bagi mengangkat sumbangan dan jasa tokoh tarbiah yang banyak menyumbang kepada perjuangan Islam.

“Selain itu, kita mahu memupuk semangat istiqamah dalam perjuangan, memperkukuh budaya ilmu dan pengkaderan gerakan Islam serta menjadikan pengalaman tokoh terdahulu,” katanya pada sidang media di Pejabat Yayasan Amanah Tok Kenali di Shabab Point hari ini.

Seminar terbabit bertema “Memperkasakan Tarbiah, Melestari Perjuangan” akan diadakan pada 10 Oktober ini bertempat di Puteri Qashrina Chalet, Melaka, bermula jam 8 pagi hingga 2 petang.

Penganjuran Seminar Pemikiran Tokoh Tarbiah 2.0 merupakan kesinambungan seminar pertama yang mengetengahkan dua tokoh tarbiah tanah air, iaitu Allahyarham Dato’ Ustaz Yahya Osman dan Allahyarham Ustaz Dato’ Harun Taib.

Kertas bertajuk “Muallim Haji Abdul Wahid  Osman: Ketokohan dan Pengkisahan Kehidupannya” akan dibentangkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Rahman Jaafar yang merupakan anak murid tokoh berkenaan.

Perasmian seminar akan disempurnakan Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ustaz Ahmad Yahya.

Zulqarnain berkata, pihaknya menyasarkan penyertaan kira-kira 500 peserta dari seluruh negara, termasuk 200 peserta dari Melaka.

“Peserta yang kita sasarkan khususnya golongan ulama, gerakan Islam di peringkat negeri dan kawasan, guru agama, penggerak pondok serta badan-badan dakwah,” katanya.

Menurutnya juga Muallim Haji Abdul Wahid mempunyai hubungan keilmuan yang rapat dengan Kelantan kerana pernah menuntut ilmu di negeri itu dan berguru dengan Tok Kenali.

Kemudian beliau meneruskan usaha dakwah dan tarbiah sehingga melahirkan ramai murid yang menjadi pendakwah dan ulama.

Antara muridnya termasuk Tuan Guru Haji Yaakob Solat dan Tuan Guru Haji Abdul Ghani Abdul Rahman, manakala Madrasah Nuriah Ad-Diniyyah di Sungai Udang, Melaka menjadi sebahagian daripada legasi perjuangannya.

Beliau juga berkata, seminar tokoh tarbiah diadakan dua tahun sekali bagi peringkat kebangsaan dengan mengetengahkan tokoh yang mempunyai sumbangan dalam bidang ilmu, dakwah dan tarbiah.

“Penyertaan dikenakan bayaran RM30 seorang. Pendaftaran turut disediakan secara dalam talian melalui kod QR yang ditetapkan pihak penganjur,” ujarnya.

 


 

Post a Comment

0 Comments