Ticker

6/recent/ticker-posts

IQAMATU SOLAT PERLU JADI AGENDA UTAMA SETIAP KOMUNITI MASYARAKAT -EXCO AGAMA

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 28 Januari - Program "Iqamatu Solat" iaitu mendirikan sembahyang yang merupakan jenama versi baharu sempena Sambutan Bulan Solat tahun ini mesti menjadi agenda utama dalam sesebuah komuniti masyarakat, kata Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud.

Beliau berkata, semua komuniti masyarakat dikehendaki menjadikan Iqamatu Solat sebagai salah satu program  utama mereka.

"Kita mahu semua pihak di peringkat jajahan, dalam apa jua gerak kerja mereka hendaklah memberi keutamaan kepada Iqamatu Solat.

"Iqamatu Solat ini bukan hanya untuk imam masjid atau surau sahaja, malah ia mesti dilaksanakan oleh semua pihak, tidak kira walaupun di mana berada, samada di pejabat, di tempat program atau di mana-mana".

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Program Iqamatu Solat, sempena Sambutan Bulan Solat Peringkat Negeri Kelantan tahun 1446H bersamaan 2025M di Dewan Besar Sultan Ismail Petra, Kompleks Islam Darulnaim, Lundang, Kota Bharu, hari ini.

Menurut beliau lagi, fokus agenda Iqamatu Solat Kerajaan Negeri Kelantan adalah untuk melaksanakan penerangan serta latihan yang berkaitan dengan solat secara tersusun melalui modul Iqamatu Solat dan MGS.

"Selain itu, fokus agenda Iqamatu Solat adalah untuk menginstitusikan agenda solat dalam semua lapangan amal islami, mengadakan pemantauan dan kajian yang lebih lengkap berkaitan solat di seluruh jajahan serta mengambil tindakan yang wajar terhadap orang Islam yang tidak sembahyang", jelasnya.

Mengulas  mengenai Membina Generasi Solat (MGS), YB Mohd Asri berkata, pelaksanaanya akan menggunakan modul baharu yang sudah siap sepenuhnya.

"Penyusunan modul ini bermula pada 2022 oleh sekumpulan pakar dan telah siap sepenuhnya pada 2024. Modul ini dikenali sebagai Modul Membina Generasi Solat di bawah kelolaan Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), katanya.

Tambah beliau lagi, pada tahun ini kerajaan negeri juga memperkenalkan anugerah Ikon Iqamatu Solat, Membina Generasi Solat.

"Ikon Iqamatu Solat MGS ini membabitkan tiga kategori iaitu kanak-kanak, remaja dan veteran. Dan untuk tahun ini kita bagi untuk kategori kanak-kanak.

"Pengenalan ikon ini adalah untuk menonjolkan Iqamatu Solat yang menjadi versi baharu bagi pelancaran Bulan Solat serta menjadi contoh kepada generasi muda hari ini agar sentiasa berusaha menjaga solat serta mengamalkan agama dalam kehidupan seharian untuk memberi kesan kepada pembentukan masyarakat yang lebih baik", ujarnya lagi.

Post a Comment

0 Comments