Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 29 Januari – Kepelbagaian bangsa dan bahasa yang ada di Kelantan merupakan anugerah Allah SWT yang perlu dihargai dan dijadikan asas untuk saling mengenali dan memperkukuh keharmonian kaum di Kelantan.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina 2025 kepada seluruh masyarakat Tionghoa di negeri ini, sambil menyeru semangat perpaduan yang berterusan antara pelbagai kaum di Kelantan.
Dalam perutusan khas sempena perayaan tersebut, beliau menyatakan bahawa perayaan kebudayaan begini adalah peluang bagi rakyat Kelantan untuk saling memahami budaya kejiranan untuk membina kehidupan seperti sebuah keluarga besar, berlandaskan rasa hormat dan kasih sayang antara semua pihak.
"Melalui sambutan Tahun Baharu Cina, saya berharap kemesraan dan perpaduan antara kita semua dapat terus diperkukuh.
"Kelantan, dengan kekayaan budaya dan semangat keharmonian, harus menjadi contoh model perpaduan di peringkat nasional," ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa nilai-nilai Islam yang mengutamakan perpaduan dan keadilan seharusnya dijadikan asas dalam mempererat hubungan antara kaum di negeri ini.
"Semoga tahun ini membawa kemakmuran, kesejahteraan dan perpaduan yang lebih kukuh antara kita semua sejajar dengan strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam," tambahnya.
0 Comments