Ticker

6/recent/ticker-posts

KLUSTER PENDIDIKAN, MODAL INSAN SG4 SELESAI BENTANG LAPORAN – YB DATO’ WAN ROSLAN

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 6 Januari – Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat memaklumkan bahawa Kluster Pendidikan dan Modal Insan SG4 selesai membentang laporan dalam Bengkel Strategik SG4 Sdn. Bhd. di sebuah hotel di Langkawi, pada Ahad.

Beliau menjelaskan bahawa pihaknya selesai membentang laporan dalam bengkel yang menyediakan ruang untuk perbincangan konstruktif antara pemimpin dan pakar, bagi memastikan setiap strategi yang digariskan mampu memberikan impak positif terhadap pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat di empat negeri terbabit.

Bengkel yang menghimpunkan pemimpin serta pakar dari empat negeri SG4 – Kelantan, Kedah, Terengganu, dan Perlis itu bertujuan memperkukuh kerjasama strategik sesama anggota kesatuan dalam aspek pembangunan pendidikan dan modal insan.

“Platform ini menjadi landasan penting bagi membincangkan pencapaian, menetapkan hala tuju strategik, dan merangka pelan tindakan menyeluruh bagi tahun 2025.

“Ia memberi penekanan terhadap kluster utama seperti pendidikan dan modal insan, pertanian dan sekuriti makanan, perdagangan, pelaburan dan industri, infrastruktur dan logistik, serta penerokaan sumber baharu pendapatan negeri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

“Matlamat utama adalah mewujudkan pembangunan mampan sambil meningkatkan daya saing negeri-negeri SG4 dalam pelbagai sektor,” tambahnya.

Beliau berharap bengkel itu menjadi langkah strategik untuk memperkukuhkan sinergi antara negeri-negeri anggota SG4, selaras dengan aspirasi untuk memperkasa ekonomi wilayah utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia.

"Langkah ini diharap mampu memperbaiki taraf hidup rakyat di negeri-negeri berkenaan, selain menjadikan SG4 sebagai model kejayaan kerjasama negeri dalam pembangunan negara," ujarnya.

Post a Comment

0 Comments