Ticker

6/recent/ticker-posts

Lebih 2 bulan air bertakung di halaman rumah


ARIFI MOHD 

KOTA BHARU: Dua keluarga penduduk di Kampung Badang Jalan Pantai Cahaya Bulan berdepan kesukaran kerana halaman rumah mereka digenangi air lebih dua bulan. 

Masalah air bertakung itu dihadapi keluarga Mastura Ahmad, 43 dan Zailani Azmi, 42 turut mendapat perhatian Pejabat Pusat Khidmat DUN Kijang.

Pejabat PKD Kijang memberitahu, penggawa dan penghulu sudah meninjau lokasi berkenaan bagi melihat keadaan sebenar.


Katanya, aduan penduduk terbabit dilanjutkan kepada Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu dan agensi berkaitan. 

“Usaha untuk menyelesaikan masalah tersebut mengambil sedikit masa memandangkan kedudukan rumah penduduk terbabit di kawasan rendah. 

“Sedangkan di kawasan berhampiran terdapat bangunan di mana kedudukan lebih tinggi sehingga lima kaki berbanding rumah penduduk terbabit,” katanya di sini. 

Sementara itu Mastura berkata, beliau dan ahli keluarga terpaksa menjalani kehidupan harian dalam keadaan laman rumah digenangi air pada paras buku lali.

Mastura

Katanya situasi itu menyukarkan kehidupan harian termasuk tujuh anaknya berulang alik ke sekolah.

“Selain itu kami bimbang penularan penyakit cirit-birit, taun dan sebagainya. Sedangkan sebelum ini tidak pernah berlaku air bertakung dalam tempoh begitu lama.

"Kami merayu kepada pihak terbabit mencari jalan penyelesaian kerana sukar menjalani kehidupan harian kerana air termenung di kawasan rumah lebih dua bulan," katanya ketika ditemui.

Beliau juga mendakwa projek menambung tanah yang dilakukan sesetengah penduduk bagi membina rumah tanpa mengambil kira kepentingan kejiranan antara faktor air bertakung dalam tempoh begitu lama.

Manakala jirannya, Zailani Azmi 42, turut mendedahkan keperitan hidup memandangkan halaman rumahnya digenangi air begitu lama.

Zailani

Sementara itu tinjauan Harakah ke kediaman Mastura mendapati tandas rumahnya tidak boleh digunakan akibat air bertakung dalam mangkuk tandas.

Penduduk terbabit juga terpaksa membina titi daripada kayu untuk berulang alik ke jalan utama.

Post a Comment

0 Comments