Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 1 Januari - Dalam perutusan bersempena 1 Rejab hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud menekankan kepentingan menjadikan bulan suci ini sebagai medan memperkukuh keharmonian dan penyatuan ummah.
Menerusi kenyataan rasmi, beliau memetik sabda Rasulullah SAW daripada Abi Bakrah RA yang bermaksud:
“Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab Mudhor terletak antara Jumadi al-Akhir dan Sya’ban.” (Riwayat al-Bukhari)
Menurut YB Mohd Asri, bulan haram seperti Rejab berfungsi sebagai tempoh yang diberkati untuk menghentikan konflik dan memperkukuh persefahaman.
"Tradisi genjatan senjata dalam sejarah Islam sewajarnya menjadi iktibar kepada umat hari ini untuk menanam nilai harmoni dan toleransi, bukan sahaja dalam kehidupan bermasyarakat tetapi juga dalam hubungan sesama umat Islam,” katanya.
Sehubungan itu, YB Mohd Asri menyeru rakyat Kelantan khususnya umat Islam agar memanfaatkan bulan Rejab dengan mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT, melaksanakan segala tuntutan-Nya, serta meninggalkan segala larangan-Nya.
Beliau turut menegaskan bahawa mempertahankan Islam sebagai sistem kehidupan yang menyeluruh merupakan kewajipan setiap individu Muslim.
“Sebagai negeri yang kaya dengan nilai budaya dan keharmonian, Kelantan mampu menjadi model kepada agenda menjaga keharmonian antara kaum. Walaupun kita berbeza agama dan bangsa, toleransi dan penghormatan terhadap perbezaan adalah kunci kepada masyarakat yang sejahtera,” ujarnya.
Mengulas isu khilaf dalam kalangan umat Islam, beliau mengingatkan agar tidak membesarkan perbezaan sehingga mencarik hubungan sesama Muslim. Menurutnya, menghargai penyatuan jauh lebih utama daripada terperangkap dalam pertikaian yang merugikan agama dan bangsa.
Rejab turut mengingatkan umat Islam akan kehadiran Ramadan yang mulia, bulan yang terdapat di dalamnya malam penuh keberkatan, Lailatul Qadar. Beliau mengajak masyarakat memanfaatkan bulan Rejab dan Syaaban sebagai persiapan rohani bagi menyambut Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.
Mengakhiri ucapannya, YB Mohd Asri menyeru umat Islam agar tidak melupakan saudara seagama yang sedang dizalimi di bumi Palestin, Syria, dan negara-negara lain.
“Semoga Allah SWT memberikan nusrah-Nya kepada mereka dan menghancurkan musuh-musuh yang menzalimi dan semoga Rejab ini membawa kita ke arah kebaikan, diakhiri dengan husnul khatimah dan kehidupan yang sentiasa dalam rahmat Allah SWT,” tambahnya.
0 Comments