KOTA BHARU: Tema program Madinah Ramadan tahun 2025 diambil kira sempena sambutan dua dekad Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) diisytiharkan sebagai Kota Bharu Bandar Raya Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Hilmi Abdullah berkata, pada mesyuarat yang diadakan baru-baru ini taqwim program sepanjang Ramadan turut dibentang.
Selain itu katanya memperdengar rakaman bacaan Al-Quran bertaranum oleh imam-imam dari Mesir yang mendapat sanad dari Universiti Al-Azhar.
“Kerajaan negeri akan menambahbaik program Madinah Ramadan tahun ini dengan mempergiatkan promosi dan meningkat kemudahan untuk keselesaan jemaah termasuk menyediakan tandas mencukupi.
“Selain itu mengadakan iklan program setiap hari dan promosi lebih awal serta diperluaskan di setiap daerah,” katanya di sini.
Program Madinah Ramadan diadakan setiap kali sambutan Ramadan di Kelantan bermula pada 1993 di Dataran MPKB di Jalan Padang Garong.
Bagaimanapun program itu dipindah ke Dataran Warisan di Stadium Sultan Muhammad IV selepas mendapat sambutan menggalakkan.
Malah Program Madinah Ramadan Kota Bharu mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila menerima anugerah ‘Produk Pelancongan Terbaik Asia Pasifik 2013’ pada perhimpunan agung Tourism Promotion Organization For Asia Pacific Cities (TPO) dan TPO Daejeon International Travel Fair di Korea Selatan.
Hilmi juga berkata, program Madinah Ramadan merupakan program mega tahunan kerajaan negeri, di mana MPKB-BRI menjadi urusetia sepanjang Ramadan di Dataran Warisan.
Menurutnya program tersebut tahun ini diadakan kolaborasi awal dengan syarikat swasta dan agensi-agensi kerajaan.
“Pihak terbabit akan mewujudkan kiosk-kiosk yang menawarkan perkhidmatan kepada pengunjung dan ahli-ahli jemaah yang hadir,” ujarnya.
0 Comments