Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 2 Januari – Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) disaran mengambil langkah proaktif dalam meneroka peluang pelaburan baharu yang lebih kompetitif.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata keutamaan Kerajaan Negeri Kelantan ialah memperkukuh peluang pelaburan strategik dalam sektor pembuatan untuk memastikan pembangunan negeri yang inklusif dan adil selari dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Katanya, bagi menyokong kemasukan pelaburan dan memperkukuhkan pembangunan negeri, tumpuan utama perlu diberikan kepada keberkesanan infrastruktur, sistem pengairan dan saliran serta bekalan air bersih.
“PKINK dan PMBK disarankan untuk mengambil langkah proaktif dalam meneroka peluang pelaburan baharu yang kompetitif dan berdaya maju.
"Usaha ini penting bagi memastikan peningkatan pendapatan yang mampan, sekali gus menyumbang kepada hasil kerajaan negeri dalam bentuk terimaan signifikan secara konsisten setiap tahun,” ujarnya dalam majlis Amanat Tahun Baharu dan Himpunan Penjawat Awam Negeri Kelantan 2025, di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Katanya lagi, Kelantan dilihat mempunyai potensi besar untuk menjadi hab teknologi hijau dan tenaga hijau terbesar di Malaysia, terutamanya dengan jangkaan siapnya Empangan Nenggiri pada tahun 2027.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kepentingan memastikan pendapatan negeri meningkat secara mampan dan konsisten setiap tahun melalui hasil pelaburan yang berdaya maju.
“KDNK Negeri Kelantan 2023 telah menunjukkan peningkatan nilai dengan menjana sebanyak RM27.6 bilion. Bagi meningkatkan daya saing Kelantan sebagai destinasi pelaburan, Kerajaan Negeri berharap agar Kementerian Ekonomi melanjutkan Pakej Insentif Khas Kelantan melalui ECERDC untuk tahun 2025 yang merangkumi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus selama 15 tahun dan kadar istimewa 17 peratus untuk lima tahun berikutnya,” jelasnya.
Beliau turut menekankan, keperluan Invest Kelantan, Bahagian Pelaburan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menyemak unjuran pelaburan secara berkala.
Perkara itu signifikan untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan projek yang dirancang, terutamanya di kawasan Zon Ekonomi Khas (SEZ) yang dilengkapi infrastruktur bertaraf tinggi bagi menarik pelaburan domestik dan antarabangsa.
0 Comments