Ticker

6/recent/ticker-posts

JIHAD PERANGI DADAH TANGGUNGJAWAB SEMUA – EXCO BELIA

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 25 Mac – Usaha membanteras penyalahgunaan dadah merupakan tanggungjawab bersama dan perlu digerakkan secara menyeluruh serta bersepadu. 

Sehubungan itu, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad berkata satu inisiatif besar akan dilaksanakan menerusi Kempen Jihad Perangi Dadah dengan penglibatan pelbagai agensi, jabatan kerajaan serta masyarakat secara kolektif.

Menurutnya, hasil perbincangan bersama Ketua Polis Kelantan YDH Dato' Mohd Yusuff Mamat, beberapa langkah utama telah disepakati bagi memperkukuh usaha memerangi dadah.

"Isu dadah tidak boleh ditangani secara berasingan.

"Kerjasama erat antara agensi penguatkuasaan, jabatan kerajaan, NGO, dan masyarakat adalah kunci kejayaan dalam usaha membanteras najis dadah ini," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Beliau turut menegaskan bahawa peranan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) perlu diperkasakan bagi meningkatkan kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat mengenai bahaya dadah serta langkah pencegahan awal.

Dalam aspek penguatkuasaan, pihak polis akan menggandakan kawalan dan tindakan terhadap pengedaran dadah yang menjadi punca utama masalah ini terus berleluasa.

Selain itu, program khas akan diadakan di kawasan berisiko tinggi bagi menangani isu ini secara lebih berkesan.

"Sebagai langkah awal, sebuah kawasan berisiko tinggi akan dipilih untuk dijadikan projek rintis dalam tempoh enam bulan bagi menilai keberkesanan pendekatan holistik ini dalam usaha memerangi dadah," ujarnya.

Dalam pertemuan tersebut juga, cadangan melaksanakan saringan air kencing sebelum perkahwinan turut dibincangkan sebagai langkah pencegahan awal.

Usaha berkenaan akan dirangka bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) bagi memastikan generasi baharu bebas daripada pengaruh dadah.

YB Zamakhshari menegaskan bahawa setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan agar kesedaran mengenai bahaya dadah dapat ditingkatkan sekali gus membendung masalah ini daripada terus berleluasa.

"Kelantan tidak boleh berkompromi dalam isu dadah ini. Jihad Perangi Dadah bukan sekadar slogan dan bukan tanggungjawab segelintir pihak sahaja, tetapi satu gerakan menyeluruh yang memerlukan kesungguhan semua pihak.

"Semoga usaha ini mendapat sokongan padu demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negeri ini," tegasnya.

Post a Comment

0 Comments