Oleh Arus Lebir
KEJAYAAN pembangkang menafikan majoriti dua pertiga BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 mencetus agenda Langkah 16 September 2008. Ketika itu BN di bawah Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) hanya menguasai 140 kerusi parlimen.
Daripada jumlah tersebut Umno memenangi 78 kerusi Parlimen, MCA (15 kerusi), MIC (3), Gerakan (2), manakala People’s Progressive Party (PPP) tidak memenangi sebarang kerusi.
Berdasar analisa keputusan tersebut calon-calon Parlimen PPP tewas 100 peratus, Gerakan (80 peratus), MIC (67 peratus), MCA (62.5 peratus) dan Umno (27.3 peratus). Secara keseluruhannya BN hanya mendapat 51.2 peratus undi majoriti.
Berikutan BN hilang majoriti dua pertiga, Pakatan Rakyat (PR) yang diketuai Anwar Ibrahim mencetus Langkah 16 September. Ahli Parlimen BN cuba dipancing menyertai blok PR.
Ekoran itu, BN dilapor membawa 'lari' 40 ahli parlimen ke Taiwan kononnya membuat lawatan sambil belajar dalam bidang pertanian.
Namun, seorang ahli parlimen Umno dari Johor yang menyertai lawatan tersebut dilapor mendakwa ada dihubungi pemimpin PKR supaya tinggalkan BN.
Bagaimanapun episod Langkah 16 September 2008 gagal. Hanya selepas 12 tahun kemudian, langkah serupa benar-benar menjadi kenyataan.
Muhyiddin Yassin membawa Ahli Parlimen Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan (PH). Azmin Ali pula belot daripada PKR. Langkah Sheraton pada awal 2020 menumbangkan kerajaan PH.
Dan adegan serupa kedengaran seperti mahu berulang semula sekarang. Baru-baru ini 13 Ahli Parlimen BN digeger mahu menarik sokongan terhadap Anwar. Ia tersebar luas di media sosial.
Tiba-tiba sehari dua ini bekas Perdana Menteri Ismail Sabri dilapor menafikan sekeras-kerasnya menarik diri daripada Kerajaan Madani. Pada kenyataan, Ismail menyatakan sokongan penuh terhadap kerajaan dan Anwar.
Kata orang lama, kalau tiada angin masakan pokok bergoyang.
Apa pun berita penafian pemimpin di negara kita bukan perkara baharu. Ia sudah lama berlaku. Hari-hari nafi, kemudian akhirnya ia muncul di bumi nyata. Banyak dalil yang berlaku sebelum ini.
Biar pun wakil rakyat diikat dengan Akta Anti Lompat Parti, namun masih ada ahli parlimen mengumumkan sokongan terhadap pihak lawan. Kerusi mereka masih selamat.
Enam bekas ahli parlimen Bersatu yang menyokong Anwar, masih kekal di Dewan Rakyat sehingga sekarang.
Kini peluang terbuka untuk 13 ahli parlimen BN menjejaki langkah enam bekas ahli parlimen Bersatu. Persoalannya adakah mereka ada keberanian. Rakyat sedia tunggu aksi mereka.
0 Comments