Ticker

6/recent/ticker-posts

THAILAND – MALAYSIA PERCEPAT PEMULIHAN LANDASAN KERETA API SUNGAI GOLOK – RANTAU PANJANG


Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto FB Jom Naik Kereta api

KOTA BHARU, 14 Jun – Jabatan Pengangkutan Rel Thailand (DRT) memaklumkan bahawa satu lawatan rasmi telah diadakan ke Malaysia bagi membincang dan mempercepatkan pemulihan laluan kereta api Sungai Golok – Rantau Panjang.

Lawatan pada Isnin itu juga melibatkan pembangunan jaringan berkembar yang bakal menghubungkan kedua-dua negara.

Menurut kenyataan rasmi DRT, lawatan tersebut adalah susulan Mesyuarat Dua Hala Pengangkutan Thailand – Malaysia pada 2 Mei lalu di Bangkok yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan Thailand Suriya Juangroongruangkit dan Menteri Pengangkutan Malaysia YB Anthony Loke Siew Fook.


Dalam mesyuarat itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk mempercepatkan pelaksanaan pemulihan laluan penting yang menghubungkan kawasan sempadan kedua-dua negara.

Delegasi Thailand diketuai Timbalan Ketua Pengarah DRT Athipoo Jitranukroh bersama pegawai kanan DRT, wakil Pejabat Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Thailand dan pegawai Perbadanan Kereta Api Negeri Thailand telah mengadakan lawatan tapak ke beberapa lokasi utama di Kelantan.

Antara stesen yang dilawati ialah Stesen Pasir Mas, Rantau Panjang dan Kota Bharu yang berkait dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Lawatan tersebut turut disertai delegasi Malaysia yang terdiri daripada pegawai kanan Kementerian Pengangkutan Malaysia, Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd Zain Mat Taha, pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) serta agensi-agensi berkaitan.


Jabatan Pengangkutan Rel Thailand menjelaskan bahawa lawatan tersebut bertujuan untuk menilai kesiapsiagaan infrastruktur rel merentas sempadan melalui Jambatan Kereta Api Sungai Golok, yang suatu ketika dahulu menjadi laluan utama pengangkutan penumpang dan barangan, namun telah tidak beroperasi lebih dua dekad.

Laluan sepanjang 18.7 kilometer dari Rantau Panjang ke Pasir Mas juga tidak beroperasi akibat kerosakan disebabkan banjir.

Kedua-dua negara bersetuju bahawa pemulihan laluan berkenaan amat penting untuk menghubungkan dengan jaringan ECRL yang menggunakan rel standard gauge 1.435 meter sepanjang 665 kilometer.

Projek ECRL sehingga Mei telah mencapai 83. 38 peratus kemajuan dan dijangka mula beroperasi secara berfasa.

Fasa 1 dari Kota Bharu ke Gombak pada suku pertama 2027. Manakala Fasa 2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang pada suku keempat tahun sama.

Selain itu, Kementerian Pengangkutan Malaysia turut memaklumkan bahawa kajian sedang dijalankan untuk melanjutkan projek ECRL dari Stesen Kota Bharu ke Rantau Panjang sejauh 30.5 kilometer bagi membolehkan sambungan dengan jaringan rel sedia ada di Malaysia dan Thailand.

Delegasi turut melawat Stesen Sungai Golok di Thailand dan mendapati bahawa infrastruktur rel di pihak Thailand telah dinaik taraf bagi menyokong semula operasi laluan lintas sempadan.

Laluan kereta api dari Hatyai Junction ke Sungai Golok sepanjang 216 kilometer merupakan laluan tunggal menggunakan landasan keluli BS100 dan landasan konkrit jenis monoblock yang kukuh serta stabil.

Laluan itu kini berakhir di jambatan kereta api merentasi Sungai Golok yang menandakan sempadan Thailand – Malaysia.

Dalam masa yang sama, beberapa projek pembangunan rel berkembar sedang dilaksanakan oleh pihak Thailand melibatkan laluan berikut;

Pertama di Nakhon Pathom – Chumphon (420 km) yang siap dibina dan telah mula beroperasi.

Kedua di Chumphon – Surat Thani (167 km), Surat Thani – Hat Yai – Songkhla (321 km), serta Hat Yai – Padang Besar (45 km) yang dalam proses pertimbangan Kabinet Thailand untuk kelulusan.

Ketiga di Hat Yai – Sungai Golok yang dalam proses permohonan peruntukan untuk kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) bagi tahun fiskal 2025.

DRT turut menyatakan bahawa pemulihan laluan kereta api Sungai Golok – Rantau Panjang sejauh 1.3 kilometer serta pembangunan rangkaian rel berkembar sejauh 216 kilometer itu akan menjadi pemangkin penting kepada pembangunan ekonomi dan sosial di wilayah selatan Thailand.

Ia berpotensi merangsang perdagangan rentas sempadan, pelaburan, pelancongan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat di kawasan sempadan.

YB Datuk Kamarudin Md Nor,
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan

Mengulas perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan projek tersebut.

"Kerajaan Negeri Kelantan menyambut baik pelaksanaannya disegerakan. Kita sentiasa sedia menyokong cadangan ini untuk tujuan pelancongan dan pembangunan ekonomi Kelantan dan Selatan Thai," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau juga optimis Rantau Panjang bakal melalui transformasi ekonomi yang lebih dinamik.

"Pelaksanaan segera projek pembangunan rel kereta api Rantau Panjang - Sungai Golok melengkapkan usaha kerajaan negeri dan Persekutuan yang sedang berkerjasama untuk memperkasa pembangunan bandar sempadan ini sebagai hab perdagangan dan pelancongan utama," jelasnya.

Post a Comment

0 Comments