Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN SEDIA JADI TUAN RUMAH STL TAHUN 2026

YB Datuk Kamarudin Md Nor,
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 15 Jun – Kerajaan Negeri Kelantan menyatakan kesediaan penuh untuk bekerjasama dan menyokong penganjuran Sepak Takraw League (STL) di Kota Bharu pada tahun hadapan, susulan cadangan yang dikemukakan oleh Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK).

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, usaha membawa kejohanan STL ke Kelantan diyakini mampu menjadi pemangkin pembangunan sukan tempatan dan memperkukuh sektor pelancongan negeri melalui penglibatan peminat serta pasukan dari seluruh negara dan rantau serantau.

“Kerajaan negeri amat terbuka dan menyambut baik saranan GASTAK untuk membawa STL ke Kota Bharu.

"Jika kejohanan itu berjaya dianjurkan di sini, pastinya para penyokong dan peminat dapat menyaksikan aksi bertaraf tinggi secara langsung di Kelantan,” katanya ketika merasmikan Majlis Makan Malam Kelantan Warriors di sebuah hotel di sini, pada Sabtu.


Menurutnya, penganjuran kejohanan besar seperti STL selari dengan usaha menjadikan Kelantan sebagai hab sukan warisan serantau serta destinasi pelancongan sukan yang mampan.

“Sepak takraw hari ini popular setanding bola sepak. Ia bukan sahaja sukan kebanggaan, bahkan berpotensi besar menarik pelancong, menjana ekonomi setempat dan menyatukan masyarakat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada GASTAK, penaja dan rakan strategik yang terus komited membangunkan sepak takraw negeri Kelantan.

“Kita harap dengan kaedah latihan yang betul dan berterusan, Kelantan mampu menjadi juara dan terus menyuntik semangat kemenangan dalam kalangan pemain muda,” katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Kamarudin memaklumkan bahawa sempena Tahun Melawat Kelantan 2024, kejohanan Kelantan Open telah berjaya dianjurkan dengan penyertaan pasukan dari seluruh negara termasuk beberapa regu luar negara.

Beliau menyifatkan kejohanan tersebut sebagai bukti keupayaan Kelantan menganjurkan acara bertaraf tinggi dan menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

“Tahniah kepada GASTAK yang kekal aktif menganjurkan kejohanan domestik dan antarabangsa. Ia bukan sahaja melonjak prestasi sukan negeri tetapi turut menggerakkan ekonomi dan sektor pelancongan secara serentak,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments