Oleh ASLANI M
NARATHIWAT: Kemasyhuran ulama terkenal Kelantan, Tok Pulai Chondong dianggap sebaris dengan Sheikh Daud Patani pada abad ke-18 dan 19.
Tidak ramai mengetahui ulama terkenal yang membuka pusat pengajian pondok pertama di Kelantan itu pernah menghasilkan kitab tafsir al Quran dan buku-buku doa.
Kitab tafsir tersebut sekarang disimpan di Muzium Al-Quran Melayu Raya di Madrasah Al-Ahmadiah Al-Islamiah (Pondok Wakaf Anak Ayam) di Kampung Bunut Payung, Narathiwat.
Tok Pulai Chondong nama sebenar Tuan Guru Haji Abdul Kadir terkenal dalam bidang fiqh, tasawuf, dan Hadis.
Tok Pulai Chondong sering menjadi tempat rujukan berkaitan masalah agama. Beliau juga sangat prihatin terhadap nasib umat Islam.
Malah, ada pihak berpendapat pengaruh Tok Pulai Chondong lebih meluas sehingga ke rantau nusantara berbanding Tok Kenali.
Popularitinya kerana ada pertalian rapat dengan Sheikh Daud Patani.
Oleh itu bagi menjejaki kegemilangan itu Jabatan Arkib PAS Kelantan diketuai pengarahnya Haji Zulkefli Mamat mengadakan lawatan ke Muzium Al Quran, Madrasah al Ahmadiah al Islamiah yang terletak hampir 110 kilometer dari Bandar Sungai Kolok.
Hadir sama Setiausaha Jabatan Arkib, Wan Zulkifli Wan Muhamad dan bendahari, Haji Razali Yusof serta petugas jabatan berkenaan.
Pengasas Pusat Manuskrip Madrasah al Ahmadiah al Islamiah Haji Muhammad Lutfi Ahmad Samae berkata, usahanya untuk mewujudkan muzium al Quran selepas berlaku tsunami lebih 10 tahun lepas.
Bantuan Turki
Katanya, selepas kejadian yang meragut banyak nyawa di selatan Thailand akibat tsunami tersebut, pihaknya menerima kunjungan rombongan bantuan dari Turki.
“Rombongan dari Turki turut melawat Madrasah al Ahmadiah al Islamiah bagi membantu umat Islam di sini.
“Bermula dari situ kami diundang ke Turki bagi mempelajari kaedah-kaedah memulihara kitab-kitab lama termasuk naskhah al Quran,” katanya ketika memberi taklimat kepada rombongan dari Kelantan semalam.
Menurutnya manuskrip lama dihantar ke Turki untuk proses baik pulih semula memandangkan banyak yang lusut dan rosak.
Kata beliau juga 12 naskhah al Quran dibaik pulih di Istanbul sebelum diserah semula kepada Pusat Manuskrip Madrasah al Ahmadiah al Islamiah, Narathiwat.
“Kami turut diundang khas ke Istanbul untuk menerima naskhah al Quran yang sudah dibaikpulih. Program penyerahan diadakan secara besar-besaran dengan kehadiran menteri dan isteri perdana menteri,” ujarnya.
Haji Lutfi juga memberitahu pihaknya menerima jemputan daripada kerajaan Iran bagi melawat muzium al Quran di Tehran baru-baru ini.
Katanya, di Muzium Tehran masih tersimpan naskhah manuskrip hasil tulisan cucu Khalifah Ali.
Muzium al Quran tersebut hampir setiap hari menerima rombongan pelawat daripada pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia, Turki dan pelbagai lagi.
Turut melawat muzium tersebut anggota Exco kerajaan Kelantan Dato' Wan Roslan Wan Hamat pada 11 Februari 2023.





0 Comments