Kerjasama menyeluruh diperlukan untuk tangani isu dadah, gejala sosial di Kelantan


Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 15 Julai – Isu penyalahgunaan dadah dan gejala sosial di Kelantan tidak harus dipandang sebagai tanggungjawab kerajaan negeri semata-mata, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks struktur pentadbiran negara yang lebih luas.

Speaker Dewan Negeri Kelantan YB Dato' Sri Amar D'Raja Dato' Mohd. Amar Abdullah berkata agensi-agensi penguatkuasaan utama seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Oleh itu pendekatan bersepadu semua pihak adalah mustahak.

“Kerajaan Negeri Kelantan tidak pernah lari daripada tanggungjawab. Kita telah melakukan apa yang termampu menyediakan persekitaran yang baik, pendidikan, dakwah, pengukuhan institusi keluarga, serta melibatkan belia dalam program-program bermanfaat,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Isnin.

Tambahnya, semua pihak perlu bersatu mencari penyelesaian jangka panjang yang menyeluruh dan ikhlas, dengan duduk semeja untuk mengenal pasti punca sebenar dan menutup kelemahan sedia ada.

“Apabila dadah menular, ia tidak mengenal siapa sama ada anak pemimpin, anak petani, anak guru, semuanya terdedah. Maka perjuangan ini mesti digalas bersama. Kita mahu anak-anak Kelantan, bahkan seluruh Malaysia, membesar dalam suasana yang selamat dan sejahtera," tambah beliau.

Dato' Mohd Amar turut memuji tahap kesedaran tinggi rakyat Kelantan untuk tampil membuat laporan apabila berlaku kes-kes penyalahgunaan dadah dan sebagainya.

“Masyarakat kita tidak menyembunyikan keburukan di bawah karpet. Sebaliknya, mereka memilih untuk berdepan dengan realiti. Inilah tanda masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap keselamatan komuniti,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan yang berasaskan nilai agama adalah jalan penyelesaian segala masalah sosial yang kian berleluasa hari ini.

"Kita percaya bahawa akar kepada penyelesaian masalah sosial yang membarah hari ini adalah melalui pendidikan yang membentuk akhlak, membina jati diri, dan meletakkan nilai agama sebagai asas dalam kehidupan. Dengan ilmu, seseorang itu akan tahu malu kepada dosa, tahu batas antara hak dan batil.

"Selain itu, peranan ibu bapa juga amat penting dalam usaha menangani masalah gejala sosial. Dalam Islam, pendidikan anak-anak bukan tugas guru semata-mata, malah ia bermula dari rumah.

"Ibu bapa lah yang menjadi contoh utama dan pendidik paling awal dalam hidup seorang anak. Jadi sekiranya asas tersebut rapuh, maka tidak hairanlah bila anak membesar, mereka tidak mempunyai panduan yang jelas," tegasnya.

Post a Comment

0 Comments