Kelantan Virtual University bakal hubungkan ahli akademik dan Kerajaan Negeri – YB Kamaruzaman


Oleh: Syamimi Manah
Kredit Foto: Media ILDAN

KOTA BHARU, 23 Oktober 2025 – “Kelantan Virtual University (KVU) akan menjadi wadah yang menghubungkan kepakaran akademik dengan kepimpinan kerajaan negeri, sekali gus membolehkan keputusan dibuat berdasarkan data dan analisis strategik,” kata Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan YB Kamaruzaman Mohamad.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Executive Talk Session: Kelantan Virtual University (KVU) di Kota Bharu pada 21 Oktober.

Beliau memaklumkan bahawa idea asal KVU adalah gagasan Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan.

Seterusnya, YB Kamaruzaman menekankan bahawa cadangan dan pandangan ahli akademik perlu selari dengan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) serta disalurkan secara berkesan kepada pimpinan negeri.

Menurutnya, KVU merupakan satu inisiatif strategik kerajaan negeri bagi memperkukuh agenda pembangunan modal insan serta memperluas jaringan kepakaran akademik dalam pelbagai bidang.


KVU juga dirancang sebagai program latihan kepimpinan untuk ahli akademik, teknokrat dan pemain industri, yang akan menjadi wadah penyatuan tenaga akademik dari dalam dan luar Kelantan untuk bersama-sama menyokong pembangunan dan kemajuan negeri secara lebih terarah dan berimpak.

“Ruang perbincangan terbuka perlu diwujudkan tanpa mengira fahaman politik. Kelantan memerlukan idea-idea bernas agar menjadi model rujukan kepada kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri lain,” tambahnya.

Program anjuran Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) itu mengumpulkan 30 peserta daripada kalangan ahli akademik dan teknokrat bagi memperkukuh pelaksanaan KVU pada masa hadapan.




Post a Comment

0 Comments