Kelantan-ECERDC tandatangani perjanjian Projek IPR-INTAN


Oleh: Asri Hamat
Kredit Foto: Media ECERDC

KOTA DARULNAIM, 23 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan bersama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menandatangani Dokumen Perjanjian Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat–Usahawan Tani (IPR-INTAN).

Perjanjian tersebut dimeterai bagi memperkasa sektor pertanian negeri, khususnya penanaman cili berteknologi tinggi.

Majlis menandatangani perjanjian tersebut diadakan di Lobi Utama, Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, disaksikan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal, Exco Pertanian, Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail serta Pegawai Kewangan Negeri YB Dato’ Rosnazli Amin.


Kerajaan Negeri Kelantan pula diwakili oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Dato’ Ahmad Adlee Yasin manakala ECERDC diwakili oleh Ketua Eksekutifnya Dato’ Baidzawi Che Mat.

Dato’ Baidzawi dalam ucapannya berkata, projek yang berpusat di Bechah Kemuning, Machang itu merupakan langkah strategik untuk memperkukuh industri pertanian negeri melalui penggunaan teknologi moden seperti sistem fertigasi pintar.

“Inisiatif ini dijangka memacu industri penanaman cili berteknologi tinggi serta memberi impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.

Menurutnya lagi, projek seluas 50 ekar yang melibatkan 100 orang peserta itu berpotensi membantu peserta keluar daripada kepompong kemiskinan dengan anggaran pendapatan RM2,000 sebulan bagi setiap peserta.


“Setakat ini, hanya 30 peratus bekalan cili dihasilkan dalam negara, manakala selebihnya diimport dari negara jiran seperti Thailand. Dengan pelaksanaan projek ini, kita yakin ia dapat menampung kekurangan bekalan cili tempatan,” jelasnya.

Projek IPR-INTAN merupakan antara inisiatif penting di bawah kerjasama strategik Kerajaan Negeri dan ECERDC bagi meningkatkan taraf hidup rakyat melalui sektor pertanian mampan serta memperkukuh rantaian bekalan makanan negara.

Post a Comment

0 Comments