Kerajaan negeri sokong pembangunan sukan BMX dan bakat belia Kelantan


Oleh: Asri Hamat
Kredit Foto: Unit Media Exco

KOTA BHARU, 22 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan terus menunjukkan sokongan dan komitmen dalam memperkasa sukan ekstrem di Kelantan apabila menerima kunjungan hormat daripada wakil Kelab BMX Kelantan di pejabat rasmi Exco Belia dan Sukan pada Selasa.

Pertemuan tersebut menjadi platform perbincangan konstruktif mengenai hala tuju sukan BMX di negeri ini, termasuk potensi kerjasama antara kerajaan negeri dan komuniti BMX dalam memperkukuh penyertaan belia dalam sukan lasak.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad menzahirkan penghargaan terhadap semangat serta kesungguhan anak muda Kelantan yang aktif menyertai sukan ekstrem dan mengharumkan nama negeri.


“Saya amat menghargai semangat dan kesungguhan anak muda kita yang terus aktif mengangkat nama Kelantan melalui sukan lasak ini.

"Insya-Allah, Kerajaan Negeri Kelantan melalui portfolio Belia dan Sukan akan terus memberi perhatian dan sokongan kepada mana-mana inisiatif yang mampu membina potensi serta gaya hidup sihat dalam kalangan belia negeri Kelantan,” katanya menerusi media sosial pada Selasa.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima sebarang cadangan dan inisiatif yang berupaya memperkasa pembangunan belia, khususnya dalam bidang sukan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.


YB Zamakhshari turut menerima kunjungan atlet berkuda Nur Elisya Qistina Mohamad Farid, 15, yang mewakili Malaysia ke temasya Sukan Remaja Asia (ASEAN Youth Games) 2025 yang berlangsung di Bahrain, Khamis lepas.

Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Elisya atas pencapaiannya dan menghargai semua pihak yang memberi sokongan terhadap perkembangan bakat muda tersebut.

“Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa komited memberi perhatian kepada pembangunan bakat anak muda tidak kira dari mana mereka datang, asalkan ada semangat dan keinginan untuk berjaya,” tambahnya.

Post a Comment

0 Comments