Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 22 Oktober — Penularan wabak influenza yang semakin meningkat di seluruh negara tidak boleh dipandang remeh dan perlu mendapat perhatian serius dan tindakan segera, kata YB Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff.
Menerusi satu kenyataan media hari ini, beliau menegaskan bahawa peningkatan kes influenza perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak, kerana ia memberi kesan besar terhadap golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan individu yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, asma dan penyakit jantung.
Menurut beliau, data terkini daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan kadar konsultasi pesakit bagi sindrom seperti influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) telah meningkat daripada 7.38 peratus kepada 9.22 peratus antara Minggu Epidemiologi (ME) ke-40 dan ke-41 tahun ini.
Sehingga ME ke-41, lebih 530 kluster influenza telah direkodkan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, katanya, institusi sekolah mencatatkan bilangan tertinggi dengan 352 kluster, bersamaan dengan 65.8 peratus daripada keseluruhan kluster.
"Peningkatan ketara juga dicatatkan dalam tempoh singkat, apabila jumlah kluster di sekolah melonjak daripada hanya 8 pada ME ke-39 kepada 202 kluster pada ME ke-41, sebelum menurun kepada 56 kluster pada minggu semasa.
“Walaupun kadar semasa masih sedikit di bawah kemuncak jangkitan tahun 2024 iaitu 9.55 peratus, penularan masih berlaku secara aktif dan memerlukan pemantauan rapi,” jelasnya dalam kenyataan tersebut.
Beliau turut menekankan bahawa influenza bukan sekadar “demam biasa”, sebaliknya jangkitan virus pernafasan yang boleh merebak dengan mudah melalui titisan udara, batuk atau bersin. Keadaan cuaca yang tidak menentu dan peningkatan aktiviti sosial serta persekolahan juga menyumbang kepada peningkatan risiko penularan.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak untuk segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala seperti demam tinggi, batuk, sakit tekak dan keletihan melampau.
"Selain itu amalkan langkah pencegahan asas seperti menutup mulut ketika bersin, mencuci tangan secara kerap, memakai pelitup muka di tempat awam, dan mengelakkan tempat sesak jika bergejala.," katanya.
Beliau turut menyeru agar institusi pendidikan dan tempat kerja hendaklah memastikan premis sentiasa bersih dan terjaga serta memantau kesihatan pelajar serta pekerja.
"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)pula hendaklah terus memperhebat kempen kesedaran awam serta memantau penularan dengan teliti agar tidak menjadi wabak besar.
Beliau turut menggalakkan pengambilan vaksin influenza tahunan, khususnya bagi kumpulan berisiko tinggi, sebagai langkah perlindungan diri yang berkesan dan terbukti selamat.
“Kesihatan awam adalah tanggungjawab bersama. Dengan disiplin, kepekaan dan kerjasama semua pihak, kita mampu membendung penularan wabak ini serta melindungi kesejahteraan rakyat,” tegasnya.

0 Comments