Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 30 Oktober – Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai perintis bandar pintar apabila menerima Anugerah “Smart City Early Adopter 2025” sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025 yang berlangsung di Dewan Sri Siantan, Putrajaya pada 28 Oktober lalu.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, MPKB-BRI telah lama menetapkan visi “Bandar Raya Islam Pintar” (Smart Islamic City) sebagai teras pembangunan Kota Bharu, seiring dengan identiti negeri Kelantan.
Beliau berkata, dalam usaha merealisasikan visi itu, MPKB-BRI telah menyusun Draf Pelan Tindakan Bandar Pintar Kota Bharu 2030 yang merangkumi komponen utama seperti e-Perkhidmatan, e-Pembayaran, e-Kompaun, e-Komuniti Digital dan Kota Inklusif bagi manfaat warga kota.
"MPKB-BRI turut menerbitkan beberapa dokumen penting sebagai bukti komitmen mereka dalam transformasi digital bandar utama ke arah Digital City, yang merupakan strategi jangka panjang menuju Kota Bharu Bandaraya Pintar 2030,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Rabu.
Menurutnya, antara komponen Bandar Pintar yang telah berjaya dilaksanakan termasuk pembangunan e-Perkhidmatan dan digitalisasi operasi seperti sistem e-bayar, aduan awam atas talian, portal data terbuka, aplikasi mudah alih, pengurusan fail elektronik serta sistem maklum balas pelanggan.
Selain itu, dalam aspek Komunikasi dan Infrastruktur Digital, MPKB-BRI turut melaksanakan inisiatif “Kelantan Free Wifi” di Dataran Ilmu, Kota Bharu hasil kerjasama dengan InfraQuest Sdn. Bhd. dan Telekom Malaysia, bagi memperkukuh akses digital awam sebagai salah satu elemen penting dalam pembinaan bandar pintar.
“MPKB-BRI bukan sahaja menumpukan kepada digitalisasi operasi, tetapi turut mengintegrasikan elemen Bandar Raya Islam sebagai identiti utama.
"Ini memberi nilai tambah dalam kesejahteraan komuniti, budaya dan teknologi,” jelas YB Hilmi.
Beliau turut menegaskan keperluan MPKB-BRI untuk memperluas penggunaan sensor Internet of Things (Iot) di bandar seperti lampu pintar, parkir pintar, sistem pengurusan sisa pintar dan mewujudkan data terbuka yang boleh diakses warga kota.
Anugerah “Smart City Early Adopter 2025” merupakan pengiktirafan khas kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menunjukkan komitmen awal dalam melaksanakan inisiatif bandar pintar di kawasan pentadbiran masing-masing.
Kejayaan berkenaan melayakkan MPKB-BRI menerima hadiah bernilai RM600,000 sebagai tanda penghargaan terhadap usaha inovatif mereka mempertingkat sistem perkhidmatan bandar berasaskan teknologi digital.
Penganugerahan berprestij tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan YB Datuk Aiman Athirah Sabu, diiringi oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Wira Dr. M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah PLANMalaysia Datuk TPr. Dr. Alias Ramli.


0 Comments