Oleh: Asri Hamat
Kredit Foto: Unit Media Exco
Kredit Foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 30 Oktober – “Dulu, penyu yang hidup di Pulau Redang juga pernah mendarat di Pantai Pachakan, Semerak, Pasir Puteh. Maka, kita perlu melakukan sesuatu agar spesies ini tidak pupus. Antara langkahnya ialah melaksanakan kempen kesedaran supaya habitat penyu dapat terus dipelihara. Dengan perancangan yang baik, kita yakin Pantai Pachakan dan Tok Bali mampu menjadi lokasi pembiakan semula penyu seperti dahulu,”
Demikian kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail sebagai sokongan terhadap pelaksanaan Program Sosialisasi Taklimat Kesedaran Bagi Kedamparan Penyu dan Spesies Terancam Peringkat Negeri Kelantan 2025 yang diadakan di Pusat Operasi Jabatan Perikanan Negeri Kelantan (JHPPK), Kampung Pachakan, Mukim Semerak, Pasir Puteh pada Selasa.
Menurut Dato’ Tuan Mohd Saripudin, program berkenaan menjadi wadah penting dalam mendidik komuniti pesisir tentang peranan mereka menjaga habitat penyu dan memastikan kelestarian sumber perikanan negeri.
“Usaha meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan bukan sahaja menyokong agenda kelestarian negeri, malah memberi nilai tambah kepada strategi jangka panjang kerajaan negeri dan agensi berkaitan dalam menjamin kesinambungan ekosistem marin,” katanya menerusi media social pada Rabu.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM1,461,000 di bawah Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan 2025, anjuran bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Kerajaan Negeri Kelantan.
Sumbangan tersebut meliputi bantuan input perikanan, peralatan pukat serta jaket keselamatan kepada komuniti nelayan darat di seluruh negeri bagi memperkukuh daya saing dan keselamatan operasi mereka.
“Jutaan terima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan atas kerjasama strategik bersama kerajaan negeri. Inisiatif ini memberi manfaat besar kepada nelayan dan penternak akuakultur, sekaligus merancakkan pengeluaran sumber makanan tempatan,” tambahnya.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perikanan Negeri Kelantan atas dedikasi melaksanakan pelbagai inisiatif pemuliharaan hidupan marin, termasuk pemantauan kes kedamparan penyu serta pendidikan awam mengenai kepelbagaian biologi laut di negeri ini.


0 Comments