Oleh Salmah Mat Husain
KOTA BHARU: Hubungan antara parti kompenan dalam Perikatan Nasional (PN) masih utuh dan tidak berlaku sebarang krisis kepimpinan seperti yang digambarkan beberapa portal berita.
Pengerusi Bersatu Kelantan, Dato’ Kamarudin Md Nor berkata, hubungan dalam PN tidak sebagaimana digambarkan beberapa individu tertentu yang menggambarkan PN kini sudah 'nazak'.
Katanya, isu yang dilaporkan itu hanya melibatkan beberapa individu dalam Bersatu dan bukan membabitkan kepimpinan tertinggi PN.
“Sebenarnya, apa yang disebut sebagai krisis kepimpinan itu hanya melibatkan segelintir ahli Bersatu yang tidak mempunyai jawatan penting dalam parti sekarang," katanya di sini.
Menurutnya, kelompok yang cuba menimbulkan kekeliruan hanya dari peringkat pertengahan dan bukan dalam kalangan kepimpinan utama Bersatu.
Kata beliau Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu ada 43 ahli, sedangkan yang tidak bersetuju dengan kepimpinan hanya dua tiga orang sahaja.
"Mereka juga ada menyebut ketua bahagian turut menandatangani surat akuan bersumpah (SD), tetapi itu hanya dakwaan, tidak pernah ditunjukkan bukti," ujarnya.
Beliau juga berkata, parti telah mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mencetuskan kekeliruan dan memburukkan parti secara terbuka.
Menurutnya Jawatankuasa Disiplin telah mengenakan tindakan terhadap mereka, di mana ada yang digantung, ada juga dipecat di peringkat bahagian kerana memburukkan parti di khalayak umum.
"Sedangkan mereka mempunyai saluran dalaman untuk membetulkan sebarang masalah,” katanya.
Kamarudin yang anggota Exco kerajaan Kelantan berkata, sebagai ahli parti yang berdisiplin, sebarang ketidakpuasan hati perlu diselesaikan melalui saluran rasmi, bukannya melalui media sosial atau portal berita.
“Ahli parti perlu menghormati prosedur parti. Setiap dua atau tiga bulan, mesyuarat diadakan untuk membincangkan sebarang isu dalaman. Jadi tidak timbul keperluan membawa masalah itu ke media.
“Di Kelantan, tidak ada sebarang masalah. Yang berlaku hanya tindakan beberapa individu yang tidak puas hati dan menggunakan media untuk menonjolkan pandangan peribadi mereka,” katanya.
Kata beliau juga majoriti ahli Bersatu terus menyokong kepimpinan sedia ada, termasuk keputusan parti yang dibuat pada Perhimpunan Agung Tahunan 2024/2025.

 
 
 
 
0 Comments