SG4 tegaskan REE hak negeri, mahu kerjasama adil dengan kerajaan persekutuan


Oleh: Asri Hamat

KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Majlis Menteri Besar State Government 4 (SG4) yang dianggotai Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis menegaskan bahawa sumber mineral nadir bumi Rare Earth Elements (REE) yang berada dalam sempadan negeri masing-masing adalah hak milik negeri, seperti termaktub di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh empat Menteri Besar SG4, iaitu Menteri Besar Terengganu yang juga Pengerusi SG4 YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri, Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis YAB Mohd Shukri Ramli, pada Rabu.

Dalam kenyataan bersama itu,, SG4 menjelaskan bahawa gabungan empat negeri itu mewakili kira-kira 70 peratus sumber REE terbesar di negara ini dan komited memastikan pengurusan sumber berharga itu dilaksanakan secara bertanggungjawab, lestari serta memberi manfaat kepada rakyat dan generasi akan datang.

Menurut kenyataan itu juga setiap negeri di bawah SG4 kini sedang melaksanakan kajian terperinci serta membangunkan pelan strategik pengurusan dan pembangunan REE yang diselaraskan bersama.

“Pelan ini meliputi aspek eksplorasi, perlombongan lestari, pengurusan alam sekitar, pemindahan teknologi serta pembangunan modal insan tempatan. Polisi semasa juga menetapkan agar mineral kritikal ini kekal dalam SG4 dengan mengutamakan penyertaan industri tempatan dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

SG4 turut menyatakan sokongan terhadap aspirasi Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan ekosistem penuh industri nadir bumi negara dari peringkat penerokaan hingga kepada penghasilan produk berasaskan REE bernilai tinggi.

Walau bagaimanapun, majlis itu menegaskan bahawa sebarang pelan pembangunan nasional tidak boleh dilaksanakan tanpa rundingan rasmi bersama kerajaan negeri sebagai pemilik sumber.

“Perancangan nasional mesti mengambil kira kedudukan negeri-negeri pemilik sumber dan perlu dibuat melalui libat urus rasmi,” tegas kenyataan tersebut.

SG4 turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam semangat federalisme yang adil dan saling menghormati, namun menegaskan agar pengalaman lalu berhubung isu royalti minyak tidak berulang dalam konteks industri REE.

“Pembahagian hasil perlu berasaskan prinsip ketelusan, keadilan dan perkongsian keuntungan yang seimbang,” tegasnya lagi.

SG4 turut berpendapat bahawa pembangunan industri REE perlu dilaksanakan di negeri yang memiliki sumber tersebut supaya limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan dapat dinikmati oleh rakyat tempatan.

“Pendapatan negeri tidak boleh terhad kepada royalti semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan penyertaan ekuiti, perkongsian keuntungan dan pemindahan teknologi kepada negeri serta rakyat,” menurut kenyataan berkenaan.

SG4 juga menyeru agar sebarang pelan pembangunan REE di peringkat nasional dan rundingan antarabangsa menghormati hak negeri dan melibatkan wakil negeri sumber dalam setiap peringkat perancangan serta pelaksanaan.

Post a Comment

0 Comments