Oleh SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Selepas
Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957, banyak adat serta protokol rasmi
kerajaan masih terikat dengan warisan penjajah termasuk menghidangkan arak.
Namun, protokol itu berubah pada tahun 1974 apabila PAS menyertai kerajaan Barisan Nasional dan menolak keras hidangan arak dalam Majlis Jamuan Negara.
Ketika itu pimpinan PAS mengutus Dato’ Asri Muda bertemu secara peribadi dengan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Husein untuk menyatakan keberatan menghadiri majlis Jamuan Negara sekiranya arak dihidangkan.
“Akhirnya Tun Razak membuat keputusan berani untuk tidak lagi menghidangkan arak pada Jamuan Negara,” kata Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan.
Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, peristiwa itu membuktikan nilai Islam mampu membentuk dasar negara bukan secara paksaan, sebaliknya dengan kebijaksanaan dan prinsip teguh.
Bagaimanapun kata beliau selepas 51 tahun berlalu, tiba-tiba hidangan arak diadakan semula pada program anjuran rasmi kerajaan.
Katanya, tindakan itu dianggap sebagai langkah songsang yang mengundur ke belakang dan mencemarkan maruah negara.
Menurut Firdaus lebih mengaibkan lagi apabila ada pemimpin DAP mendakwa hidangan arak dalam majlis antarabangsa sebagai etika global.
“Arak bukan simbol kemajuan, tetapi lambang kelalaian dan kerosakan akhlak. Dahulu Malaysia pernah menunjukkan maruah dengan tidak tunduk pada budaya barat, kenapa kini perlu berpatah balik.
“Arak bukan etika global. Ia hanyalah etika manusia yang kehilangan arah,” katanya.
Baru-baru ini Majlis
Makan Malam Gala ‘Global Travel Meet 2025’ yang melibatkan Kementerian
Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dilapor menghidangkan arak.
Program itu turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
0 Comments