Hormati Perlembagaan Persekutuan, jangan salahkan Kelantan – YB Dato’ Mumtaz


Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media YB

KOTA BHARU, 9 Oktober – “Apabila sesuatu perkara berada di bawah senarai persekutuan, maka hormatilah bidang kuasa itu.”

Demikian tegas Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi ketika tampil sebagai tetamu jemputan dalam sesi audio siar The Goodcast Show pada 17 September lalu.

Beliau merupakan pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang pertama diundang bagi menjawab persoalan berhubung isu air dan peluang pekerjaan di negeri Kelantan.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa menghormati sistem pentadbiran yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk pembahagian tanggungjawab antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.


"Kita ikut Perlembagaan Persekutuan. Dalam kerajaan, ada geran per kapita, kita ada state list dan federal list. Bila sesuatu perkara berada bawah federal list, tolong hormati.

"Jika kerajaan boleh beri geran kepada negeri lain, kenapa tidak kepada Kelantan? Itu sahaja yang kami minta,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa perlembagaan yang sedia ada haruslah diguna pakai secara adil tanpa berat sebelah terhadap mana-mana negeri.

"Apa guna perlembagaan yang ada kalau kerajaan tidak guna perlembagaan?” soalnya.

Mengulas mengenai isu penghijrahan rakyat Kelantan ke luar negeri, Dato' Mumtaz menolak tanggapan negatif bahawa perkara itu berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri menyediakan pekerjaan.


"Sekarang ini Kelantan pembekal tenaga manusia. Cikgu paling ramai dari Kelantan, tentera paling ramai dari Kelantan. Kita bukan hantar yang jahat keluar.

"Kami sangat nak wujudkan peluang pekerjaan di Kelantan, tetapi tidak ada pelabuhan, tidak cukup kemudahan. Macam mana kita nak buat? Prasarana dan fasiliti ini mesti dibina oleh kerajaan persekutuan,” jelasnya.

Beliau turut menyentuh isu bekalan air yang sering dijadikan bahan kritikan terhadap kerajaan negeri.

"Isu air mesti dibantu oleh kerajaan persekutuan. Kerajaan negeri hanya membekalkan air di bawah bidang kuasa negeri, tetapi penghantaran air ke rumah itu di bawah pengurusan persekutuan.

"Masalah air juga berlaku di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Tapi kenapa media tidak cover? Kenapa selalu highlight Kelantan?” ujarnya.

Dalam sesi itu juga YB Dato’ Mumtaz turut menyeru agar masyarakat memahami konteks sebenar isu pembangunan di Kelantan dan menilai berdasarkan fakta serta kerangka perlembagaan, bukan persepsi semata-mata.

Siaran tersebut boleh ditonton melalui pautan https://www.youtube.com/watch?v=rVgxWbnlMoI

Post a Comment

0 Comments