Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media YB Mohd Syahir
Kredit foto: Media YB Mohd Syahir
BACHOK, 24 November – Ahli Parlimen Bachok YB Mohd Syahir Che Sulaiman merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan individu yang terlibat dalam membantu mangsa banjir di daerah itu.
Menurutnya, Bachok ialah daerah pertama di Kelantan dilanda banjir tahun ini.
"Setakat semalam, lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka, dengan jumlah penduduk yang berpindah semakin meningkat. Beberapa PPS tambahan dijangka akan dibuka bagi menampung penduduk yang terjejas.
“Penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi memindah dan menyelamat, termasuk di bawah penyelarasan Ketua Jajahan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Penggawa,” katanya menerusi laman rasmi, semalam.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama masyarakat setempat, termasuk Ahli Dewan Negeri (ADN), penghulu, pasukan sukarelawan, KHIDMAT Malaysia Bachok, dan Pasukan Pusat Khidmat DUN yang sentiasa berada di barisan hadapan untuk menghulurkan bantuan.
“Terima kasih juga kepada YAB Menteri Besar Kelantan dan YB Exco Kebajikan yang telah menyantuni mangsa banjir di PPS SK Pauh Sembilan, sedikit sebanyak dapat meringankan beban penduduk yang terjejas,” jelasnya.
YB Syahir turut menasihatkan semua warga Bachok khususnya calon-calon SPM agar sentiasa waspada dengan keadaan sekitar dan mematuhi arahan pihak berkuasa.




0 Comments