‘Jom Igat Ikan Dalam Baruh’ tarik ramai peserta, perkasa pemeliharaan sumber perikanan darat


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 20 November - Program Pengenalpastian Lubuk Ikan yang berlangsung di MS D'Baroh, Kampung Jerus, Mukim Selising pada Rabu berjaya menarik penyertaan ramai penduduk setempat melalui aktiviti utama “Jom Igat Ikan Dalam Baruh”.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata program anjuran bersama Pejabat Perikanan Negeri Kelantan itu memberi tumpuan kepada usaha memelihara serta mengurus sumber perikanan darat secara mampan demi kelestarian alam sekitar.

Menurutnya, penganjuran program sebegini bukan sahaja memupuk kesedaran komuniti, malah mengukuhkan kerjasama masyarakat dalam memastikan sumber semula jadi terus terpelihara untuk generasi akan datang.


"Program seperti ini merupakan platform ideal bagi semua pihak berkongsi idea, ilmu dan pengalaman dalam memperkasakan sektor perikanan, seterusnya menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

"Ia selaras dengan objektif Dasar Agromakanan Negara 2020-2030 untuk mewujudkan rantaian nilai yang tangkas, berdaya tahan serta berasaskan sistem pengembangan yang mampan,” katanya menerusi media sosial pada Rabu.

Dalam program 'Jom Igat Ikan Dalam Baruh' kali ini, sebanyak 700 ekor ikan puyu dewasa dilepaskan bagi tujuan tersebut.



Beliau juga turun padang bersama penduduk untuk menyertai aktiviti menggagau ikan, sekali gus mengeratkan hubungan pemimpin dan masyarakat setempat.

Untuk rekod, pada tahun 2024, Kelantan merekodkan 186.9 tan metrik pendaratan perikanan darat dengan nilai RM3.5 juta.

Di Pasir Puteh sahaja, sebanyak 39 nelayan darat menerima elaun sara hidup daripada Jabatan Perikanan, dengan jumlah pendaratan 36.74 tan metrik bernilai RM358,467.


Jabatan Perikanan Negeri Kelantan turut menjalankan aktiviti pelepasan benih ikan ke perairan umum, membabitkan 1.426 juta ekor benih pada tahun lalu.

Bagi daerah Pasir Puteh, sebanyak 70,000 ekor benih udang galah dan baung dilepaskan di Sungai Semerak, manakala 150,000 ekor benih udang galah dilepaskan di Sungai Tasek Pauh.

Post a Comment

0 Comments