KOTA BHARU: Penyokong kerajaan mendakwa semangat federalisme yang dijunjung Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud tidak diterjemahkan beberapa agensi kerajaan Persekutuan.
Adun Pasir Tumboh Dato’ Abdul Rahman Yunus berkata, situasi seperti itu berulang semula apabila muncul seumpama konsep kerajaan dalam kerajaan.
Katanya, peranan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) boleh dianggap seumpama kerajaan dalam kerajaan di Kelantan.
“Kerajaan negeri bersikap matang dan terbuka dalam usaha menjunjung semangat federalisme bagi memastikan manfaatnya sampai kepada rakyat.
“Tahniah kepada Menteri Besar kerana mengekalkan semangat federalisme, begitu juga Perdana Menteri yang bersemangat mempertahankan konsep tersebut,” katanya ketika mengambil bahagian membahas ucapan menjunjung kasih titah Pemangku Raja Kelantan di Dun Kelantan hari ini.
Ekoran itu Adun Melor, Wan Rohimi Wan Daud bangun mencelah mendakwa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan sekarang tidak lagi melaksanakan sesuatu projek di bawah peruntukan kerajaan Pusat.
Menurutnya sejak dua tahun lepas projek di bawah Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak lagi memberi sesuatu projek secara terus kepada PBT.
Sebaliknya projek itu dilaksanakan ICU termasuk melantik kontraktor dan tidak lagi dikendalikan PBT seperti sebelum ini.
Abdul Rahman berkata, malangnya masih ada lagi agensi di bawah kerajaan Pusat yang tidak memperlihatkan usaha ke arah semangat federalisme.
“Semangat federalisme perlu dipertahankan. Sedangkan pimpinan besar dilihat bersungguh-sungguh mahu terjemahkan semangat federalisme.
“Begitu juga wakil rakyat sepatutnya dibenarkan masuk ke sekolah di bawah Jabatan Pendidikan bagi menunaikan semangat federalisme, namun ia tidak berlaku begitu,” ujarnya.


0 Comments