Kerajaan negeri komited naik taraf muzium, tarik minat pengunjung


Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 23 Disember – Kerajaan Negeri Kelantan menyatakan komitmen untuk menambah baik pengurusan dan kemudahan muzium negeri bagi menarik lebih ramai pengunjung serta memperkukuh peranan institusi berkenaan sebagai pusat pendidikan dan rujukan warisan.

Komitmen itu dizahirkan menerusi lawatan Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad ke beberapa muzium di bawah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK).

Lawatan tersebut bermula di Muzium Negeri sebelum diteruskan ke Muzium Adat Istiadat Istana Jahar dan Muzium Diraja Istana Batu.

Menurut YB Zamakhshari, beliau melihat sendiri keadaan kemudahan, susun atur pameran serta kaedah penyampaian maklumat kepada pengunjung.


“Lawatan diteruskan ke Muzium Kraftangan dan Balai Seni Lukis Kelantan yang berperanan penting memperkenalkan seni, kraf serta hasil kreativiti anak Kelantan kepada masyarakat,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi beliau pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa sepanjang lawatan tersebut, perbincangan turut diadakan bersama pihak pengurusan PMNK berkaitan keperluan penambahbaikan dan hala tuju muzium sebagai ruang pendidikan serta rujukan warisan negeri.

YB Zamakhshari juga memaklumkan bahawa segala isu atau kekurangan di muzium-muzium terlibat sedang dan akan terus ditangani.


"Segala isu atau kekurangan di muzium sedang dalam tindakan dan penambahbaikan. Kita akan fokus kepada Muzium Istana Jahar dan Muzium Diraja untuk ditambah baik kemudahan dan promosi" katanya ketika ditemui, semalam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Muzium Negeri Kelantan dan pengarahnya Norhalis Mohamed Noor atas komitmen serta kerjasama dalam memelihara dan memartabatkan warisan negeri.

Post a Comment

0 Comments