Pendidikan awal Islam lahirkan generasi berilmu


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 21 Disember - Pendidikan awal Islam yang mantap merupakan asas penting dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak serta berdisiplin, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat.

Katanya, pendidikan prasekolah mustahak untuk kecemerlangan akademik dan pembentukan akhlak anak-anak dari peringkat awal lagi.

"“Pendidikan prasekolah Islam bukan sekadar menekankan kecemerlangan akademik, malah membentuk akhlak, disiplin dan jati diri anak-anak sejak usia awal,” katanya menerusi media sosial, pada Sabtu.

Terdahulu, Dato' Wan Roslan merasmikan Majlis Anugerah Prestasi PASTI Al-Iman Geting, Tumpat yang melibatkan 118 pelajar.


Menurutnya, majlis berkenaan diadakan sebagai penghargaan kepada pelajar PASTI yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam akademik dan sahsiah, hasil usaha berterusan para guru serta sokongan padu daripada ibu bapa.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada barisan pendidik dan pengurusan PASTI yang komited dalam memastikan pendidikan Islam terus diperkasakan di peringkat awal.

Sementara itu, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud pula berkata, pada usia empat, lima dan enam tahun anak-anak didik keluaran PASTI sudah pandai solat dengan bacaan dan kaedah yang betul.



"Pada usia empat, lima dan enam tahun, anak-anak ini telah diajar dengan cara solat yang betul dan membaca al-Quran dengan baik serta diberi penekanan dalam aspek akhlak, jadi insya Allah mereka sudah pandai solat dengan bacaan dan cara yang betul," katanya menerusi media sosial pada Sabtu.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Anugerah Prestasi PASTI Rabiatul Adawiyyah Chicha, Kubang Kerian.

Post a Comment

0 Comments