Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Kelstone
Kredit foto: Unit Media Kelstone
KOTA BHARU, 22 Disember — Kelstone Sdn Bhd dan Japan Organization for Metals and Energy Security (JOGMEC) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi bekerjasama menilai potensi sumber unsur nadir bumi (REE) di kawasan terpilih di Kelantan.
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dalam kenyataan media pada Jumaat memaklumkan, MoA itu difasilitasi di bawah Memorandum Kerjasama (MoC) ECERDC–JOGMEC yang menyokong kerjasama berstruktur ke arah pembangunan REE yang mampan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Menurut kenyataan berkenaan, di bawah MoA itu Kelstone dan JOGMEC akan melaksanakan program tinjauan yang dipersetujui bagi menilai potensi teknikal serta pertimbangan utama untuk pembangunan yang bertanggungjawab, selaras dengan peraturan dan garis panduan berkuat kuasa.
“Sebagai sebahagian daripada tadbir urus projek, sebuah jawatankuasa pengurusan bersama akan ditubuhkan untuk menyelia pelaksanaan program, dengan ECERDC menyertai sebagai pemerhati,” katanya.
ECERDC berkata, kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen bersama dalam memajukan penerokaan unsur nadir bumi secara bertanggungjawab, di samping memperkukuh hubungan Malaysia–Jepun serta menyokong pembangunan rantaian nilai REE yang mampan.
“Inisiatif ini menandakan langkah penting dalam membuka potensi unsur nadir bumi di Kelantan, sambil memastikan aktiviti penerokaan dan pembangunan masa hadapan dilaksanakan secara telus, mampan dan selaras dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), serta objektif pembangunan nasional dan serantau,” menurut kenyataan itu.
Kelstone merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) yang terlibat dalam pembangunan sumber mineral di Kelantan.
Manakala JOGMEC merupakan sebuah agensi kerajaan Jepun yang berperanan memastikan keselamatan bekalan sumber mineral dan tenaga negara itu. Ia ditubuhkan pada tahun 2004 di bawah seliaan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun (METI).

0 Comments