Kelantan catat penumpang Bas.My tertinggi

 

Oleh Salmah Mat Husain|

KOTA BHARU: Kelantan antara negeri mencatatkan penggunaan tertinggi perkhidmatan bas henti-henti Bas.My dengan purata 84,000 penumpang sebulan berdasar suku keempat tahun lepas.

Dengan pencapaian itu sekali gus Kelantan merekodkan hampir dua kali ganda berbanding sebelum pelaksanaannya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding hanya 44,000 penumpang sebulan bagi tempoh sama pada 2024 sebelum Bas.My diperkenalkan di Kota Bharu.

Menurut beliau, prestasi tersebut bukan sahaja melepasi sasaran awal kementerian, malah membuktikan penerimaan baik rakyat Kelantan terhadap pengangkutan awam yang lebih sistematik dan mesra pengguna.

“Kelantan antara negeri yang mencatatkan penggunaan yang tinggi dan saya percaya perkhidmatan ini masih mempunyai ruang besar untuk terus berkembang,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti Bas.My di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dan Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail.

Anthony juga berkata, pelaksanaan Bas.My Kota Bharu di bawah model Skim Bas Perantara (SBST) melibatkan 16 laluan merangkumi 11 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Kelantan.

Katanya, sebanyak 64 bas digunakan bagi operasi berkenaan iaitu lapan bas elektrik (EV) bersaiz midi, 24 bas mini ‘low floor’ dan 32 bas mini konvensional.

“Reka bentuk bas berwarna merah jambu yang ceria turut diperkenalkan bagi memudahkan penumpang mengenali Bas.My serta menarik minat penggunaan pengangkutan awam,” ujarnya.

Tambah beliau, Kerajaan Persekutuan melaburkan RM109.3 juta bagi tempoh lima tahun, atau kira-kira RM21.86 juta setahun bagi memastikan kesinambungan dan kejayaan perkhidmatan Bas.My di Kota Bharu.

Sehubungan itu beliau merakamkan penghargaan terhadap pencapaian syarikat konsortiun E-Mutiara yang mengurus Bas.My di Kelantan.

Katanya, dengan pencapaian terbaik itu kemungkinan besar selepas lima tahun nanti syarikat berkenaan akan terpilih lagi untuk memgendalikan sepenuhnya bas tersebut.

"Saya mengingatkan pemandu bas mengikut garis panduan dan syarat pemanduan yang ditetapkan. Ia menjadi antara penentu syarikat akan dapat diterus mengendalikan Bas.My pada masa hadapan," katanya.


 

 

Post a Comment

0 Comments