KOTA BHARU: Bagi mendekatkan pendukung PAS terhadap sejarah jatuh bangun parti itu, setiap PAS kawasan di Kelantan disaran menyediakan ruang khas bagi menempatkan bahan-bahan berkaitan arkib.
Sehingga sekarang lima PAS kawasan menyediakan laman arkib iaitu Pasir Puteh, Rantau Panjang, Pasir Mas, Tumpat dan Kubang Kerian. Manakala PAS kawasan lain sedang dalam proses persiapan.
Ruang arkib tersebut akan menempatkan pelbagai dokumen, fail, foto, artifak dan bahan lain yang mempunyai nilai sejarah.
Pengerusi Jabatan Arkib PAS Kelantan Haji Zulkifli Mamat berkata, PAS kawasan di Kelantan mempunyai banyak bahan bersejarah yang boleh dipamerkan untuk tatapan generasi sekarang dan akan datang.
“Ketika sambutan 70 tahun PAS Kelantan pada Oktober lepas, setiap PAS kawasan mempamerkan banyak bahan bersejarah di galeri pameran.
“Dokumen dan bahan-bahan bersejarah tersebut boleh ditempatkan di ruang khas di setiap pejabat PAS kawasan. Manakala bahan-bahan sejarah lama yang rosak boleh dibaikpulih semula,” katanya pada majlis penyampaian sijil ahli jawatankuasa Arkib PAS Kelantan sesi 2025-2027 di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Jabatan Arkib PAS negeri Haji Huzaimy Che Husin dan ahli-ahli jawatankuasa arkib.
Pada tahun lepas Jabatan Arkib PAS Kelantan melawat Muzium Al Quran dan Warisan Melayu Nusantara di Pondok Ahmadiah Narathiwat, Thailand.
Muzium terbabit menempatkan lebih 100 manuskrip Al-Quran tulisan tangan termasuk naskhah berusia lebih 1,000 tahun dengan khat Kufi Qadim serta koleksi dari Pattani, Turki, Indonesia, Malaysia dan Yaman.
Jabatan Arkib PAS Kelantan dengan kerjasama Badan Perhubungan PAS Negeri juga menerbit buku sejarah 70 tahun PAS Kelantan yang bertajuk ‘Tok Lebai Kemudi Negeri’.
Jabatan Arkib PAS Kelantan mempunyai Facebook Arkib PAS Negeri Kelantan yang memaparkan pelbagai sejarah berkaitan PAS, kerajaan negeri dan dokumen lama.
Laman terbabit sehingga sekarang mempunyai 84 pengikut tetap yang sering mengakses media sosial tersebut.
Zulkifli juga berkata, ahli jawatankuasa Jabatan Arkib PAS dan pendukung PAS disaran menjadi pengikut tetap Facebook terbabit bagi mengetahui pelbagai sejarah lama berkaitan PAS dan kerajaan Kelantan.
“Setiap PAS kawasan juga disaran menghantar biografi lima tokoh yang berjasa di kawasan masing-masing kepada Jabatan Arkib PAS Negeri untuk tujuan pendokumentasian dan pembukuan,” katanya.
Menurutnya juga Jabatan Arkib PAS akan menganjur bengkel bagi mendedahkan kaedah-kaedah bagi menjaga dokumen lama untuk mengelakkan daripada rosak.




0 Comments