Emas, REE mampu lonjak ekonomi Kelantan

 

Oleh Norzana Razaly |

PEWARTAAN lima kawasan mendulang emas di Kelantan membuka ruang ekonomi kepada penduduk setempat mencari rezeki. Ia juga mencerminkan bukan sahaja syarikat bermodal besar diberi peluang, sebaliknya rakyat turut dilibatkan.

Pewartaan fasa pertama mendulang emas melibatkan Sungai Tadoh dan Sungai Pergau di Jeli, Sungai Gentiang di Kuala Krai, Sungai Galas di Gua Musang serta Sungai Bertam di Tanah Merah.

Melalui langkah itu kerajaan negeri dapat mengawal selia aktiviti perlombongan kecil supaya tidak berlaku eksploitasi tanpa kawalan.

Daripada perspektif ekonomi sumber, aktiviti mendulang emas berskala kecil sering terdedah kepada isu ketirisan, keselamatan dan kemerosotan alam sekitar sekiranya tidak diurus dengan baik.

Oleh itu, ketetapan radius dua kilometer, keperluan lesen sah, serta pemantauan berterusan pihak berkuasa merupakan mekanisme penting untuk memastikan aktiviti mendulang emas memberi manfaat ekonomi tanpa mengorbankan keselamatan dan kelestarian alam.

Sehingga sekarang 332 permohonan lesen mendulang emas diterima kerajaan negeri, di mana sebahagiannya melepasi peringkat bayaran dan tapisan. Ini menunjukkan minat masyarakat terhadap sektor tersebut.

Namun, hanya pendulang berlesen dibenarkan beroperasi. Pejabat Tanah dan Galian (PTG) akan memastikan pendulang mematuhi SOP keselamatan yang ditetapkan.

Selain itu penubuhan rantaian pembelian emas melalui syarikat berdaftar seperti TCS Aurics Sdn Bhd dan Jadekey Sdn Bhd memudahkan pendulang menjual serbuk emas yang diperolehi.

Syarikat terbabit dicadangkan menjual pula emas kepada anak syarikat kerajaan negeri iaitu Kelantan Gold Trade (KGT). Strategi itu penting bagi mengelakkan kebocoran hasil, menjamin ketelusan harga dan memastikan pulangan ekonomi kekal dalam ekosistem negeri.

REE

Selain emas, Kelantan juga sedang meneroka unsur nadir bumi atau rare earth elements (REE) sebagai punca hasil utama pada masa hadapan.

REE boleh dimanfaatkan bagi menghasilkan komponen bateri kenderaan elektrik, turbin tenaga boleh baharu, peralatan pertahanan dan elektronik berprestasi tinggi. Jelaslah REE menjadi nadi kepada ekonomi masa hadapan.

Kerajaan Kelantan memastikan REE diproses sepenuhnya dalam negeri merangkumi peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan menegaskan kerajaan negeri tidak mahu REE dieksport dalam bentuk mentah.

Nilai REE sebenar bukan terletak pada bahan mentah yang digali, tetapi pada proses pemisahan, penulenan, pembuatan bahan antara dan seterusnya penghasilan produk berteknologi tinggi.

Pendekatan pemprosesan menyeluruh dari huluan ke hiliran membuka ruang limpahan ekonomi kepada Kelantan. Dari sudut ekonomi mineral, aktiviti huluan seperti penerokaan dan perlombongan hanya menyumbang sebahagian kecil nilai tambah.

Sebaliknya, aktiviti pertengahan seperti pemprosesan kimia, pengasingan unsur, serta aktiviti hiliran seperti pembuatan komponen industri dan aplikasi teknologi, menawarkan pulangan ekonomi berlipat kali ganda.

Peluang kerja

Selain limpahan ekonomi, pemprosesan tempatan juga menjadi pemangkin kepada penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dan pemindahan teknologi.

Industri REE memerlukan kepakaran dalam bidang kejuruteraan kimia, metalurgi, sains bahan dan pengurusan sisa industri. Sekiranya ekosistem tersebut dibangunkan secara terancang, Kelantan berpotensi melahirkan tenaga mahir tempatan yang memenuhi keperluan industri.

Malah, langkah Kelantan menandatangani memorandum persefahaman dengan Lynas Malaysia serta mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat lain, memperlihatkan kesediaan untuk menjadi pemain serius dalam rantaian bekalan REE global.

Namun, industri REE bukan sahaja kompleks dari sudut teknikal, malah sensitif dari sudut alam sekitar dan geopolitik.

Oleh itu, keupayaan teknologi, rekod pematuhan alam sekitar, serta kesediaan pelabur untuk memindahkan ilmu dan membina kapasiti tempatan wajar dijadikan kriteria utama pemilihan.

Dr Mohamed Fadzli menjelaskan pengurusan REE di Kelantan masih tertakluk kepada Enakmen Mineral sedia ada, manakala dasar luar negara berkaitan REE berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Keadaan ini menuntut penyelarasan dasar antara kerajaan negeri dan persekutuan agar pembangunan REE tidak terencat oleh kekaburan peraturan.

Garis panduan yang jelas amat penting bagi memastikan pelaburan berjalan lancar, pematuhan undang-undang terjamin dan kepentingan awam terus terpelihara.

Pendekatan sistematik kerajaan negeri dalam pengurusan mineral turut dapat dilihat melalui

Dalam dunia yang semakin kompetitif, inilah asas penting untuk memastikan kekayaan bumi benar-benar menjadi rahmat kepada rakyat, bukan sekadar angka dalam statistik eksport.

Post a Comment

0 Comments