
TUNISIA: Kerajaan
negeri Kelantan melaksana lebih 20 program berkebajikan bagi manfaat rakyat negeri
itu sejak lebih 15 tahun lepas.
Antaranya Skim Khairat Kifalaah, Skim It‘am, Ladang Rakyat, Skim Cakna Aulad dan Skim Gerbang Az-Ziwaaj, sebagai manifestasi keprihatinan sosial secara menyeluruh.
Anggota Exco Kerajaan Negeri Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, usaha itu dilaksanakan kerajaan Kelantan selaras dengan moto Membangun Bersama Islam (MBI) sejak 1990.
Katanya, langkah tersebut termasuk juga menutup premis judi serta menghadkan penjualan arak demi memelihara nilai dan kesejahteraan masyarakat.
“Pengekangan nafsu kuasa menjadi prinsip asas pentadbiran negeri. Rekod membuktikan sehingga kini tiada pimpinan negeri didakwa atas kesalahan rasuah,” katanya pada program bersama Persatuan Pelajar Malaysia Tunisia (PERMAT) semalam.
Wan Roslan mengetuai rombongan kerajaan Kelantan melawat Universiti Ez-Zitouna Tunisia.
Rombongan terbabit turut disertai anggota Exco Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail; Pengarah Yayasan Kelantan DArulnaim (YAKIN), Nik Jessim Nik Hashim dan Pengarah Yayasan Islam Kelantan, Shamsul Abu Bakar.
Sebelum itu ketibaan rombongan terbabit di Lapangan Terbang Tunis disambut Rektor Universiti Ez-Zitouna, Prof Dr Abdul Latif Bu Azizi dan Timbalan Rektor Prof Dr Muhammad Al Rezqui.
Wan Roslan juga berkata, mahasiswa hendaklah meletakkan Islam sebagai tujuan utama dalam setiap gerak kerja dan penglibatan di kampus serta luar kampus.
“Mahasiswa hendaklah meningkatkan kefahaman agama dengan menolak segala bentuk isme-isme yang menyimpang daripada ajaran Islam.
“Mahasiswa juga perlu bersikap terbuka dalam menangani isu semasa, sentiasa bergantung kepada Allah dalam setiap langkah serta meningkatkan usaha memantapkan ilmu sehingga mencapai kejayaan,” ujarnya.
Menurutnya juga kerajaan Kelantan memberi keutamaan terhadap pendidikan agama, di samping menggalakkan penguasaan sains, teknologi dan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai keperluan membina ummah.
Beliau juga berkata, lawatan itu diadakan bagi memperkukuhkan jaringan pendidikan antarabangsa khususnya memperatkan kerjasama antara institusi pengajian Islam serta menjaga kebajikan pelajar.


0 Comments