Oleh A Rahman Harun
SEREMBAN: Status rasmi penyertaan MIC bersama Perikatan Nasional (PN) masih dalam proses akhir, bakal diputuskan melalui mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.
Timbalan Pengerusi PN Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, baru-baru ini PN menerima permohonan daripada MIC untuk menyertai gabungan PN.
"Kita bincang dalam Majlis Tertinggi PN untuk menerima MIC dalam parti komponen PN.
"Lagi pun MIC antara yang terawal sebelum kita bentuk PN, sekarang dia mari bersama kita lagi," katanya pada ceramah umum isu semasa di Seremban semalam.
Turut hadir pada majlis itu, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serting, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa dan timbalannya merangkap Adun Paroi, Kamarol Ridzuan Mohd Zin.
Media sebelum ini melaporkan keputusan MIC menyertai PN didorong beberapa faktor berkaitan kedudukan parti itu dalam kerajaan campuran sekarang.
Malah Presiden MIC, Tan Sri Sa Vigneswaran menyatakan realiti semasa parti itu tidak lagi dihormati mahupun dianggap sebagai rakan kongsi yang tulen dalam gabungan sebelum ini iaitu Barisan Nasional (BN).
Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) MIC ke-79 pada November 2025 sebulat suara menyokong usul keluar daripada BN dan menyertai PN sebagai hala tuju baru parti itu dan PN mengesahkan permohonan tersebut.
Tuan Ibrahim juga berkata, MIC sebelum ini pernah setuju menjadi sebahagian daripada parti penaja bagi mendaftarkan PN secara rasmi di bawah Pendaftaran Pertubuhan bersama PAS, Bersatu dan Star.
Bagaimanapun katanya, atas faktor kekeliruan di mana MIC menyangka BN juga akan menyertai PN selepas mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, sebaik sahaja BN mengumumkan tidak akan menyertai PN, parti itu turut mengubah pendirian dan secara rasmi menarik diri daripada memohon menyertai PN dan kekal bersama BN.
PN sekarang dianggotai PAS, Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).


0 Comments