Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA BHARU, 8 Februari – Business Network International (BNI) Kelantan menjadi platform strategik apabila lebih 300 usahawan dari seluruh negara dan antarabangsa berhimpun sempena Minggu Jaringan Usahawan Antarabangsa (NWI) 2026.
Majlis perasmian program tersebut disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud di sebuah hotel di sini, pada Sabtu.
Beliau menyifatkan penganjuran program bertaraf antarabangsa itu sebagai peluang penting untuk membina jaringan perniagaan, berkongsi ilmu serta meneroka pasaran baharu.
“Program ini merupakan platform berprestij yang menghimpunkan lebih 300 usahawan BNI dari seluruh negara termasuk peserta antarabangsa.
"Penganjuran sebegini memberi ruang kepada usahawan untuk berkolaborasi dan mengukuhkan jaringan perniagaan mereka,” katanya.
![]() |
| Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud |
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran para peserta ke Kelantan yang bukan sahaja dikenali sebagai Serambi Mekah, malah terkenal sebagai negeri yang melahirkan ramai usahawan berjaya dalam pelbagai bidang, sama ada di peringkat korporat mahupun perusahaan kecil dan sederhana.
Mengulas landskap keusahawanan tempatan, Menteri Besar berkata Kelantan sering dikaitkan dengan kehebatan usahawan wanita, khususnya menerusi Pasar Besar Siti Khadijah yang menjadi simbol keterlibatan aktif golongan wanita dalam dunia perniagaan.
“Tengok sahaja Pasar Besar Siti Khadijah, yang menjadi simbol keterlibatan langsung golongan wanita dalam arena keusahawanan. Namun di sebalik kejayaan wanita, terdapat peranan golongan lelaki yang menjadi tunjang dan tonggak sesebuah perniagaan.
"Golongan lelaki dan wanita di Kelantan saling melengkapi untuk membangunkan anak bangsa dan negeri ini,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa Islam amat menggalakkan keusahawanan sebagai sumber rezeki yang produktif dan beretika, selari dengan hadis Rasulullah SAW bahawa sebahagian besar rezeki datangnya daripada perniagaan.
“Keusahawanan dalam Islam bukan sekadar mengejar keuntungan, sebaliknya merupakan ibadah yang mempunyai dimensi sosial dan etika yang kukuh,” katanya.
Menteri Besar turut menggariskan prinsip-prinsip utama keusahawanan Islam, termasuk memastikan aktiviti dan produk perniagaan adalah halal dan tayyib, menegakkan keadilan, menjunjung etika perniagaan yang tinggi, menyumbang kepada masyarakat serta menggalakkan inovasi dan peningkatan produktiviti.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan melihat pembangunan keusahawanan sebagai pelaburan jangka panjang yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan.
Dalam landskap ekonomi global, beliau berkata jaringan strategik bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan, dan program Minggu Jaringan Usahawan ini membuka ruang perkongsian ilmu, pemindahan teknologi serta penerokaan pasaran baharu.
Dato' Nassuruddin turut menekankan slogan BNI Kelantan, “Uboh Cara Set Kito Nnego”, yang menekankan perubahan minda dan budaya berniaga ke arah pembinaan nilai, kepercayaan dan jaringan jangka panjang.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Kelantan terus komited memperkasa sektor keusahawanan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dengan menumpukan kepada pelaburan berkualiti, pembangunan industri moden berasaskan teknologi, pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana serta usahawan mikro, pengukuhan modal insan dan pembangunan ekonomi digital serta inovasi.
Kelima-lima fokus itu menjadi teras strategi pembangunan ekonomi negeri ke arah Kelantan yang lebih sejahtera, makmur dan berdaya tahan.
Menteri Besar turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada BNI Kelantan atas kejayaan menganjurkan Minggu Jaringan Usahawan Antarabangsa 2026, serta mengucapkan terima kasih kepada semua penaja dan usahawan luar Kelantan yang menyertai program berprestij tersebut.





0 Comments