KUALA LUMPUR: Berdasar
kepada data terdapat antara 1,000 hingga 2,000 pelajar perubatan yang belajar
di luar negara menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) tidak diiktiraf
kerajaan Malaysia.
Bagi mengatasi masalah itu graduan terbabit perlu menduduki Peperiksaan Kelayakan Pra Pendaftaran (EPR) bagi menjalankan amalan perubatan secara sah di Malaysia.
Ahli Parlimen PN Kuala Langat Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, tanpa menduduki peperiksaan tersebut, mereka tidak akan memperolehi nombor pendaftaran Majlis Perubatan Malaysia (MPM).
Katanya, situasi tersebut menyebabkan kehilangan besar kepada sektor kesihatan awam negara dari sudut kewangan, modal insan dan kualiti perkhidmatan perubatan di negara ini.
"Sedangkan pelajar terbabit menghabiskan tempoh pengajian di universiti yang tidak diiktiraf kerajaan.
“Bagi graduan dari universiti yang tidak diiktiraf dalam Jadual Kedua Akta Perubatan 1971, menduduki peperiksaan EPR adalah satu-satunya pilihan untuk beramal sebagai doktor di Malaysia," katanya di Dewan Rakyat semalam.
Menurutnya langkah itu bertujuan memastikan graduan terbabit mempunyai tahap pengetahuan akademik dan kemahiran klinikal setaraf piawaian pendidikan perubatan.
"Pelajar terbabit masih ada ruang kalau mereka benar-benar mempunyai kelayakan akademik dan skil klinikal," katanya.
Oleh itu beliau menyarankan pelajar memilih institusi pengajian tinggi diiktiraf kerajaan untuk mengelakkan komplikasi kerjaya setelah menamatkan pengajian.

0 Comments