Krisis kepercayaan landa Parti Amanah

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Keputusan mantan Ketua Pemuda Amanah Perlis, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad mengumumkan keluar parti disifatkan sebagai krisis kepercayaan melanda parti itu sekarang.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, tindakan tersebut menunjukkan wujud jurang antara prinsip perjuangan parti berkenaan dengan keutamaan semasa.

Katanya, keberanian anak muda mempertahankan prinsip perjuangan parti merupakan sesuatu yang perlu dipuji dan dihormati.

“Dewan Pemuda PAS Kelantan merakamkan ucapan tahniah atas keputusan yang boleh dianggap lahir daripada ketulusan bagi mencari kebenaran.

“Anak-anak muda wajar menilai perjalanan politik Amanah yang terpalit dengan pelbagai isu dan sanggup menunggang apa sahaja demi kuasa tanpa prinsip yang jelas,” katanya pada kenyataan.

Semalam Dr Ahmad Fadhzil dilapor mengumumkan meninggalkan parti itu dan melepaskan semua jawatan yang disandang.

Menurutnya langkah tersebut dibuat selepas melalui pertimbangan yang panjang dan mendalam, khususnya melibatkan peranan sebagai pemimpin muda serta hala tuju perjuangan politik.

Firdaus berkata, pendedahan dibuat mantan Ketua Pemuda Amanah Perlis menunjukkan parti terbabit semakin hilang hala tuju perjuangan.

Kata beliau parti tersebut dilihat semakin jauh daripada matlamat asal penubuhannya.

“Perkembangan politik Amanah di Perlis tidak lagi sekuat seperti yang cuba digambarkan sebelum ini.

“Apa pun tahniah kepada mantan Ketua Pemuda Amanah Perlis kerana berani menyatakan pendirian daripada terus berlari tanpa arah yang memenatkan,” katanya.

 

 

Post a Comment

0 Comments