Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU:
Sebanyak empat parti politik dilapor mengemukakan permohonan secara rasmi untuk
menyertai Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Pengerusinya, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti terbabit iaitu Parti Pejuang Tanah Air, Berjasa, Parti Iman serta Putra menghantar surat permohonan kepada PN.
Katanya, ada yang berulang kali buat permohonan termasuk Pejuang, Berjasa, Parti Iman dan yang terbaru Putra,” katanya ketika ditemui sempena program sembang santai kedai kopi selepas solat Subuh di Masjid Mentuang, hari ini.
Menurut beliau Parti Keluarga Malaysia turut mengemukakan permohonan untuk menyertai PN.
“Parti Keluarga Malaysia pun ada buat permohonan, Cuma nama pendaftarannya mungkin berbeza, jadi kita akan semak dengan teliti,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, setiap permohonan akan diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan oleh kepimpinan PN.
Katanya, penelitian itu penting bagi memastikan parti yang ingin menyertai gabungan berkenaan benar-benar mempunyai kekuatan organisasi serta sokongan akar umbi.
Kata beliau setiap parti perlu disemak keahliannya, jumlah cawangan dan pelbagai elemen lain.
“Setakat ini permohonan diterima hanya melibatkan parti-parti dari Semenanjung Malaysia. Tiada sebarang permohonan diterima daripada parti di Sabah dan Sarawak,” katanya.
PN didaftarkan pada 7 Ogos 2020, sekarang dianggotai PAS, Bersatu, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

0 Comments