KOTA BHARU:
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka menjadi medan ujian bagi parti-parti
politik untuk mengukur tahap sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU)
ke-16.
Timbalan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, semua parti politik mahu menjadikan Melaka sebagai ukuran petunjuk prestasi (KPI) sejauh mana rakyat sokong menjelang PRU.
“Umno buat kenyataan mahu bertanding solo walaupun akhirnya mereka akan bergabung juga dengan PH.
“DAP pun kata mahu bertanding solo. Jadi saya fikir semua parti mahu jadikan Melaka sebagai ‘test market’,” katanya ketika ditemui pada program sembang santai dengan penduduk setempat selepas solat Subuh Masjid Kampung Mentuan, dekat sini hari ini.
Tempoh penggal ke-15 Dun Melaka dijangka berakhir pada 27 Disember ini dan Johor pada 21 April 2027.
Tarikh berkenaan berdasar persidangan penggal pertama Dun selepas PRU-15 pada 27 Disember 2021 bagi Melaka dan 21 April 2022 bagi Johor.
Tuan Ibrahim yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata, Perikatan Nasional (PN) kekal bersama sebagai satu pasukan.
“PAS tetap bersama PN dan akan bertanding bersama-sama tidak berasingan,” ujarnya.
Beliau juga berkata, sentimen rakyat ketika ini tidak memihak kepada kerajaan Persekutuan susulan kenaikan harga diesel sehingga meningkat kos sara hidup rakyat.
Menurutnya, rakyat marah dengan kenaikan harga diesel yang melambung sehingga tiga kali dalam tempoh yang singkat.
“Itu sebab saya fikir kerajaan tidak berani buat pilihan raya awal dalam keadaan sekarang,” katanya.

0 Comments