Pili bomba terbiar di kawasan kampung

 

KOTA BHARU: Pili bomba merupakan komponen penting yang digunakan pasukan Bomba dan Penyelamat apabila berlaku sesuatu kebakaran.

Maka tidak hairanlah pili bomba sering diselenggara oleh jabatan berkenaan secara berkala bagi mengelakkan ia tidak dapat digunakan untuk memadam api apabila berlaku kebakaran.

Lebih-lebih lagi kemarau panjang yang melanda Kelantan sebelum ini, di mana seringkali berlaku kebakaran sama ada melibatkan rumah penduduk dan kawasan semak di kawasan kampung atau berhampiran jalan utama.

Dengan adanya pili bomba di kawasan kampung ia dapat membantu pasukan Bomba dan Penyelamat memadam kebakaran yang berlaku.

Bagaimanapun di Kampung Belukar, Jalan Telipot sebuah pili bomba kelihatan terbiar dan sudah lama tidak diselenggarakan.

Pili bomba terbabit yang terletak di tepi jalan sebelum ini seringkali dilanggar kenderaan terutamanya ketika sedang mengundur pada waktu malam.

Tiang pili bomba terbabit sudah tercabut daripada tapak asal. Tiang batu berkenaan diletak penduduk di tepi bangunan Masjid Al Muhsinin bagi mengelak dilanggar kenderaan.  

Penduduk tempatan ketika ditemui berharap pihak Bomba dan Penyelamat Kota Bharu dapat melenggarakan semula pili bomba tersebut kerana sudah lama terbiar.

Katanya, lubang tapak asal pili bomba tersebut sudah tertimbus dan menyukarkan pihak bomba mendapat sumber air apabila berlaku sesuatu kecemasan.

“Kami berharap pihak berkaitan dapat menyelenggarakan semula pili bomba tersebut kerana ia sudah lama terbiar. Dahulu pernah anggota bomba datang menyelenggara pili tersebut, namun sejak lebih dua tahun lepas ia terbiar begitu sahaja,” kata mereka.

Menurutnya juga pihak Bomba dan Penyelamat dicadangkan memasang tiang lut sinar yang boleh kelihatan dari jauh bagi mengelakkan dilanggar kenderaan setelah tiang pili tersebut dipasang semula.  


Post a Comment

0 Comments