Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU: Kumpulan Kala Maharaja PKINK mucul johan kategori lelaki Pertandingan Dikir Barat RTM 2026.
Kumpulan itu berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000. Manakala kumpulan Seruling Kasih muncul sebagai Naib Johan Lelaki, meraih hadiah wang tunai RM20,000.
Johan kategori wanita dimenangi Sri Kandi Tumpat dan berjaya membolot wang tunai berjumlah RM25,000 dan kumpulan Sri Andani pula meraih Naib Johan Wanita dan mendapat hadiah wang tunai RM15,000.
Tok Jogho lelaki terbaik dimenangi Ijak Akiem dari kumpulan Kala Maharaja PKINK dan beliau meraih hadiah wang tunai RM4,000.
Tukang Karut Lelaki terbaik juga dimenangi Kala Maharaja PKINK melalui Megat Haikal. Beliau membawa pulang hadiah RM5,000.
Manakala Tok Jogho Wanita Terbaik milik Sri Kandi Tumpat, Nana Alunan Manja dan beliau mendapat hadiah RM3,000).
Ikin Sukma Sakti dari kumpulan Sri Kandi Tumpat memenangi kategori Tukang Karut Wanita Terbaik (RM4,000). Selain itu Anugerah Khas Raja Perfume Malaysia dimenangi Sri Andani.
Penganjuran dikir barat sebagai usaha untuk memartabatkan seni warisan tradisional, khususnya dalam menarik minat generasi muda.
Sementara itu Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, beliau diperkenalkan juara Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 ketika Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PKINK 2025.
Katanya kejayaan kumpulan tersebut bukan sekadar kemenangan di pentas, sebaliknya simbol warisan budaya tidak pernah pudar, malah terus segar, dipelihara dan diwarisi oleh generasi baharu.
“Di tangan mereka, seni tradisi bukan sekadar dikenang tetapi dihidupkan menjadi denyut nadi yang mengangkat jati diri dan maruah bangsa,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Manakala di TUMPAT, Adun Pengkalan Kubor, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat meraikan kejayaan Kumpulan Dikir Barat Seruling Kasih dan Sri Kandi yang mencipta kejayaan pada Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 baru-baru ini.
Sri Kandi Tumpat muncul Johan Kategori Wanita, manakala Seruling Kasih pula berjaya meraih gelaran naib johan dalam pertandingan berprestij yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media Kuala Lumpur pada 25 dan 26 April lalu.
Wan Roslan berkata, kejayaan tersebut membuktikan kesungguhan, disiplin serta semangat kerja berpasukan yang tinggi dalam kalangan penggiat seni budaya tempatan.
“Semoga semua kumpulan terus istiqamah memperkasa budaya dan mengharumkan nama Tumpat serta Kelantan di pentas yang lebih tinggi,” katanya pada majlis tersebut malam tadi.
Turut hadir Adun Kelaboran, Mohd Adanan Hassan dan pendikir popular Den Manjo serta penaja kumpulan dikir terbabit yang sentiasa memberi sokongan kepada pembangunan seni budaya tempatan.
Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 mencipta sejarah tersendiri apabila julung kali memperkenalkan kategori kumpulan wanita.
Program anjuran RTM itu diadakan bagi menghidupkan semula seni budaya dikir barat serta menjadi platform melahirkan pendikir dan tukang karut berbakat di negara ini.





0 Comments