55 pelajar Maahad Tahfiz Sains tawan puncak Gunung Stong

 

BACHOK: Seramai 55 pelajar Maahad Tahfiz Sains Al-Muhammadi Kampung Nipah mencipta sejarah apabila berjaya menawan tiga puncak utama Gunung Stong, Dabong menerusi program Kem Mukhayyam Tarbawi baru-baru ini.

Pendakian tersebut turut disertai 9 guru dianjur bertujuan membina ketahanan fizikal, mental dan rohani pelajar melalui aktiviti lasak yang berteraskan nilai tarbiah serta kerja berpasukan.

Tiga puncak utama Gunung Stong meliputi  Gunung Baha (1,450 meter), Gunung Ayam (1,504 meter) dan Gunung Stong (1,422 meter). 

Laluan pendakian yang terkenal dalam kalangan pendaki itu lazimnya mengambil masa sekitar tiga hari dua malam.

Selain menawarkan cabaran pendakian yang mencabar, kawasan tersebut turut terkenal dengan keindahan landskap batu kapur serta air terjun Jelawang yang diiktiraf sebagai  tertinggi di Asia Tenggara.

"Kami menyifatkan pencapaian itu sebagai satu kejayaan besar yang mencerminkan semangat kerjasama, disiplin dan ketahanan diri dalam kalangan pelajar serta guru.

"Kejayaan menawan tiga puncak dilihat selari dengan usaha Maahad melahirkan generasi hufaz yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan hafazan al-Quran, malah memiliki kecergasan fizikal, daya tahan serta kepimpinan," katanya pada kenyataan.

Maahad Tahfiz Sains Al-Muhammadi Kampung Nipah ditubuh pada tahun 2009,  merupakan sebuah maahad kawalan di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK).


Post a Comment

0 Comments