Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU: Proses rundingan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selesai secara muafakat melalui mekanisme rasmi Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi PN Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau telah menandatangani watikah pelantikan calon-calon PN bagi menghadapi pilihan raya tersebut.
Katanya sekarang masa untuk semua parti komponen, kepimpinan dan jentera PN memberikan sepenuh tumpuan kepada gerak kerja pilihan raya.
"Keutamaan kita menawarkan kepimpinan berintegriti, dasar yang membela rakyat serta membawa harapan baharu demi kesejahteraan rakyat Johor," katanya pada kenyataan hari ini.
Beliau juga berkata, isu yang dibangkit Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), (Dato Seri Faizal Azumu) pada kenyataan media baru-baru ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.Kata Dr Samsuri PN sebuah gabungan politik yang bergerak berdasarkan Perlembagaan, disiplin organisasi dan keputusan bersama.
"Setiap parti anggota, termasuk Bersatu mempunyai ruang sepenuhnya untuk menyuarakan pandangan, mengemukakan bantahan dan mempertahankan pendirian masing-masing dalam mesyuarat.
"Namun, apabila sesuatu ketetapan telah dibuat melalui mekanisme rasmi gabungan, semua pihak wajib menghormatinya. PN tidak boleh dijadikan medan untuk mana-mana parti memilih keputusan yang mahu diterima dan mempertikaikan ketetapan yang tidak selari dengan pendirian mereka," ujarnya.
Oleh itu beliau kesal apabila perkara dalaman gabungan dibawa ke ruang awam selepas mesyuarat berakhir.
Mengenai penggunaan simbol PN dalam PRN Johor kata beliau, penggunaan simbol PN datang bersama tanggungjawab politik."Mana-mana parti yang diberikan amanah bertanding menggunakan simbol PN hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pemilihan calon, gerak kerja pilihan raya, pengurusan kempen serta prestasi kerusi yang ditandingi," tambahnya.
Sementara itu Dewan Pemuda PAS Kelantan menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan yang diumumkan Pengerusi PN bagi memperkukuhkan organisasi menjelang PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Ketuanya, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, keputusan tersebut perlu dilihat sebagai langkah memperkemaskan organisasi dan bukannya bertujuan menghukum mana-mana pihak.
Menurutnya, dalam sesebuah organisasi, adakalanya keputusan sukar perlu dibuat bagi memastikan perjalanan perjuangan tidak terganggu serta pasukan berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi cabaran yang mendatang.
“Kita tidak boleh terus terperangkap dengan polemik dan sentimen individu. Keutamaan sekarang memperkukuhkan saf perjuangan, menyusun strategi dan memberi fokus kepada rakyat,” katanya di sini.
Beliau juga berkata, sebarang masalah yang timbul dalam organisasi perlu ditangani segera bagi mengelakkan kesan yang lebih buruk pada masa hadapan.
Mohd Firdaus turut menegaskan keputusan berkenaan dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Perikatan Nasional.
Sehubungan itu, katanya semua pihak sewajarnya menghormati keputusan tersebut dan bergerak ke hadapan dengan semangat disiplin serta kesetiaan kepada organisasi.
“Terimalah keputusan dengan jiwa besar sebagaimana kita sering menuntut orang lain menghormati perlembagaan dan disiplin organisasi,” katanya.
.



0 Comments