Nilai parti bertindak bercanggah semangat kerjasama

 
Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Bersatu disaran melakukan muhasabah susulan beberapa tindakan yang didakwa menjejaskan kestabilan serta kesepaduan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, terdapat pihak yang terlalu ghairah mentafsir perlembagaan PN bagi mempertahankan kedudukan Bersatu dalam gabungan itu.

Namun katanya, persoalan lebih penting sejauh mana parti berkenaan mematuhi semangat dan keputusan bersama yang menjadi asas penubuhan PN.

Menurutnya, perlembagaan sesebuah gabungan politik bukan sekadar perlu dibaca berdasarkan fasal tertentu, sebaliknya mesti difahami roh dan tujuan penubuhannya.

“Gabungan politik tidak akan mampu bertahan jika salah satu parti anggota terus bertindak bertentangan dengan keputusan bersama sehingga menjejas kekuatan gabungan.

“Contohnya isu pimpinan Bersatu yang dikaitkan dengan usaha menjatuhkan bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli,” katanya pada kenyataan hari ini.

Sedangkan katanya, kerajaan negeri di Perlis dibentuk hasil mandat rakyat menerusi kerjasama parti-parti dalam PN.

Selain itu, tindakan dua Adun Bersatu di Negeri Sembilan menarik semula sokongan terhadap  14 Adun BN menolak kepimpinan menteri besar memberi kesan langsung kepada kesepaduan gabungan berkenaan.

Mohd Firdaus berkata, Fasal 15 Perlembagaan PN memperuntukkan tindakan boleh diambil terhadap parti anggota yang didapati bertindak bertentangan dengan kepentingan gabungan.

Beliau juga menegaskan sebelum ini PAS banyak bersabar demi menjaga kesatuan pembangkang, namun kesabaran tidak seharusnya ditafsirkan sebagai lemah.

“PN tidak boleh menjadi medan untuk menikmati manfaat ketika menguntungkan, tetapi pada masa sama bertindak melemahkan gabungan apabila kepentingan sendiri tidak dipenuhi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Majlis Tertinggi PN dan Majlis Presiden perlu menilai semula kedudukan mana-mana parti yang berterusan bertindak bercanggah dengan semangat kerjasama.

“Kesetiaan kepada gabungan diukur melalui tindakan bukan sekadar tafsiran perlembagaan semata-mata,” katanya.

Baru-baru ini PAS memutus kerjasama politik dengan Bersatu, namun tetap kekal dalam PN.


Post a Comment

0 Comments