Undi popular PAS PRU16 dijangka meningkat

MACHANG: PAS dijangka mampu meraih jumlah undi popular lebih lima juta pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 berdasar perkembangan yang berlaku sekarang.

Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, jumlah itu meningkat berbanding jumlah undi popular yang diperolehi PAS pada PRU15 iaitu 3.75 juta. 

Katanya, jumlah undi popular yang dikumpul PAS sejak PRU13 menunjukkan trend meningkat iaitu PRU13 (1 juta), PRU14 (2 juta) dan PRU15 (3.75 juta).

Sebaliknya kata beliau jumlah undi popular yang dikumpul Umno dan Barisan Nasional semakin menurun sejak PRU13 iaitu 5 juta, PRU14 (4 juta) dan PRU15 (3 juta).

'Saya menjangka jumlah undi popular yang akan diraih PAS lebih tinggi berbanding BN pada PRU16. Malah pada PRU15 PAS mempunyai ahli parlimen lebih ramai iaitu 43, berbanding Umno hanya 26," katanya pada pelancaran gerak kerja pilihan raya PAS Kelantan di Markas Dewan Ulamak PAS Kelantan di Labok hari ini.

Beliau juga berkata, Umno cuba bergerak secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN)  Johor dan sekiranya resepi itu berjaya ia akan diperluaskan ke negeri-negeri lain.

Kata beliau juga ketika PAS dan Perikatan Nasional sudah jauh melangkah ke hadapan dalam misi untuk menawan Putrajaya, malangmya Bersatu berdepan dengan masalah dalaman.

Menurutnya krisis yang melanda Bersatu sedikit sebanyak mengganggu usaha PN untuk mara ke Putrajaya.

"Isu berkaitan akan diputuskan oleh pimpinan PAS Pusat pada 8 Jun ini bagi menentukan hala tuju perjuangan PAS dan Bersatu. Apa pun segala keputusan yang akan dibuat akan dipatuhi pendukung PAS di semua peringkat," ujarnya.

Manakala pada sesi pengarahan parti Setiausaha PAS negeri Dato Wan Roslan Wan Hamat berharap semua perancangan dan gerak parti hendaklah diselaras di bawah Lajnah Pemerkasaan Parti.

Sempena program berkenaan juga diadakan penyerahan panji oleh pesuruhjaya kepada wakil 14 PAS kawasan, Dewan Ulama, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Dewan Assabiqun dan Dewan Himpunan Pendukung PAS. 

Selain itu turut diadakan bacaan ikrar diketuai Ketua Penerangan Dewan Ulamak Ustaz Abdul Fatah Jaafar.


Post a Comment

0 Comments