20 pasangan kembar curi tumpuan Karnival Cakna Rakyat

 
Oleh Tuan Arjuna Beta & Azam| Foto Media Tanjung Mas|

KOTA BHARU: Kehadiran 20 pasangan kembar dengan penampilan sedondon mencuri tumpuan di Karnival Cakna Rakyat Dun Tanjong Mas 2026 di sini Sabtu lepas.

Kehadiran pasangan kembar berkenaan bertepatan dengan tema ‘sedondon’ diraikan bersama keluarga pada karnival yang diadakan di Maahad Muhammadi Lelaki.

Turut mendapat perhatian sesi santai bersama personaliti media sosial Thana Mek Kelate, Wadiey Bobby dan Abe Mat Ngepek menerusi celoteh dan perkongsian bersama pengunjung.

Abe Mat Ngepek mengingatkan masyarakat supaya menjaga hubungan dalam komuniti, menghargai keluarga serta menggunakan pengaruh media sosial berkaitan perkara yang baik.

Pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk pertandingan Rubik Kiub, puzzle dan futsal padang bagi kanak-kanak.

Golongan dewasa pula mengambil bahagian acara tarik tali, lari dalam guni, dart, shoot netball dan lastik tin, manakala golongan wanita menyertai pertandingan hias kek dan membuat sandwich.

Kira-kira 2,000 pengunjung memeriahkan karnival berkenaan dan 300 peserta menyertai acara Family Fun Walk. Karnival terbabit dirasmikan anggota Exco Kerajaan Negeri Dato' Rohani Ibrahim.

Turut hadir Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Nor Azariza Mohd Alawi.

Karnival turut dimeriahkan persembahan Silat Tongkat, Silat Gayong Makrifat, taekwondo dan nasyid, selain cabutan bertuah.

Sementara itu acara sukan rakyat, Zon Paya Bemban muncul juara pertandingan tarik tali, mempertahankan kejuaraan Zon Terbaik untuk tahun kedua berturut-turut.

Zon Cherang menduduki tempat kedua bagi kategori Zon Terbaik, diikuti Zon Langgar di tempat ketiga dan Zon Sungai Keladi keempat.

Sempena karnival tersebut 100 menerima Skim Pendidikan Anak Yatim (SPY), penerima Bakul Kasih (100) dan 30 menerima Cakna Halwa.

Sebanyak 11 agensi dan organisasi mengambil bahagian pameran antaranya Pusat Perubatan An-Nisa’, Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK), Telekom Malaysia, Air Kelantan Sdn Bhd, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), mySalam, Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS), CelcomDigi, KOWANIS, Public Gold dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

 

Post a Comment

0 Comments