Bantahan pihak tertentu kes pengampunan Najib ditangguh?

 
KOTA BHARU: PAS beranggapan penangguhan permohonan Dato’ Seri Mohd Najib Razak di hadapan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya tidak akan berlaku secara sendiri.

Setiausaha Agung PAS Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, keadaan itu berlaku kemungkinan terdapat arahan atau bantahan daripada mana-mana pihak sama ada dalam kalangan ahli-ahli lembaga atau pihak ketiga yang berkepentingan.

“Justeru PAS menuntut kerajaan menjelaskan perkara itu kepada umum dengan segera kerana ia suatu isu berkepentingan awam yang tidak wajar dihalang daripada pengetahuan rakyat,” katanya pada kenyataan.  

Media sebelum ini melaporkan permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.

Perkara itu dimaklumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri pada kenyataan Jumaat lepas.

Menurut kenyataan itu mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan, Yang di-Pertuan Agong berkenan membebaskan 65 banduan.

Tahun lepas geger isu titah Adendum dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di kediamannya.

Najib dijatuh hukuman penjara berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Bagaimanapun bekas perdana menteri terbabit diberi lega hukum daripada penjara 12 tahun kepada enam tahun dan denda RM210 juta kepada RM50 juta.

Takiyuddin juga berkata, kenyataan media Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri menjelaskan Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguh ke mesyuarat Lembaga Pengampunan lain yang akan diadakan kelak.

 

 

Post a Comment

0 Comments