KOTA BHARU: Seorang menteri Pakatan Harapan (PH) dianggap mempamerkan politik murahan apabila mempersendakan ‘adakah pemimpin PAS pernah pergi ke syura’.
Ketua Penerangan PAS Pengkalan Chepa, Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, sebagai menteri sepatutnya individu terbabit menaikkan taraf pemikiran rakyat.
Malangnya kata beliau menteri berkenaan mengetengahkan logik cetek yang bersifat kebudak-budakan.
“Orang Islam bercakap tentang syurga berdasarkan keterangan dalam al-Quran dan Hadis, bukannya kerana pernah melancong ke sana.
“Kalau mesti masuk syurga dahulu sebelum boleh bercakap mengenainya, adakah Kor Ming pernah masuk neraka sehingga begitu yakin mempermainkan urusan akhirat?” katanya pada kenyataan.
Baru-baru ini Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming pada catatan di laman sosialnya menanyakan adakah Haji Hadi sendiri pernah pergi ke syurga?
Sebelum itu pada ceramah perdana sempena Muktamar PAS 4 September lepas Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan antara lain menyebut perjuangan parti itu berlandaskan Islam dan seseorang yang berjuang mempertahankan Islam berpeluang memperoleh ganjaran syurga.
Nik Bahrum yang juga Timbalan Exco Kerajaan Negeri berkata, tiada siapa mengatakan ada keahlian PAS sebagai tiket automatik masuk ke syurga.
Menurutnya ahli atau pemimpin PAS yang berdosa tetap akan dipersoalkan oleh Allah Taala di akhirat kelak.
“Menyertai perjuangan Islam merupakan amal yang diharapkan mendapat ganjaran, bukannya sijil bahawa seseorang sudah maksum. Jika benar ada pemimpin PAS sebut ‘masuk PAS pasti masuk syurga’ sila keluarkan rakaman penuh, nama program dan tarikh.
“Jangan pungut terjemahan propaganda, kemudian berlagak seperti sudah berjaya mematahkan hujah dengan dua soalan kurang cerdik,” ujarnya.
Beliau juga berkata, berbeza pandangan politik tidak mengapa, namun apabila agama dijadikan bahan ejekan, jangan anggap umat Islam berdiam diri demi menjaga keselesaan politik.
Kata beliau seorang ahli politik bukan Islam tidak lagi membataskan pertentangan kepada parti dan dasar, sebaliknya sengaja menjadikan pegangan umat Islam sebagai bahan persendaan.
“Jangan pula berpura-pura terkejut apabila masyarakat Islam memberikan reaksi keras,” katanya.



0 Comments