
KOTA BHARU: Sebelum
ini Perdana Menteri, Dato‘ Seri Anwar Ibrahim menegaskan kenaikan kadar tarif
elektrik yang berkuat kuasa Julai 2025 tidak akan menjejaskan 85 peratus
rakyat.
Menurutnya ia hanya membabitkan sektor industri dan semakan dilaksanakan berdasarkan kaedah Pelepasan Kos-Kos Tidak Berimbang (ICPT).
Bagaimanapun apa yang berlaku sekarang pengguna domestik juga turut terbeban dengan kenaikan tarif elektrik yang begitu mendadak.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN)) Tan Sri Annuar Musa berkata, ramai pengguna meluah rasa kesal terhadap kenaikan tarif elektrik sekarang.
Katanya, ramai penduduk terkesan dalam keadaan kos sara hidup yang terus meningkat.
“Saya masih ingat di bawah Pentadbiran Keluarga Malaysia, beberapa kali syor menaikkan tarif di bawa ke kabinet, namun ketika itu kerajaan menolak.
“Saya dan Tan Sri Noh Omar mewakili kabinet mendengar penjelasan pihak TNB dan Suruhanjaya Tenaga. Bermacam-macam alasan mereka dan formula mereka, namun kita tetap menolaknya.
“Bukan sahaja atas alasan TNB mencatat untung berbilion, tetapi kita tidak yakin dengan jaminan bahawa pengguna domestik dan IKS tidak terjejas,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Menurutnya juga Kerajaan Madani meluluskan kenaikan tarif sehingga menyebabkan rakyat yang terkesan teruk.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi pula berkata, pihak mana yang bertanggungjawab mewujudkan struktur tarif baharu yang berkuat kuasa 1 Julai 2025 di bawah Regulatory Period 4 (RP4) sehingga 31 Disember 2027.
Katanya, dalam struktur tersebut bil elektrik dipecahkan kepada beberapa komponen, manakala mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) diperkenal bagi membuat pelarasan kos penjanaan elektrik setiap bulan.
“Mengapa perlindungan kepada pengguna bergantung kepada garis 600 kilowatt-jam (kWh), sedangkan keadaan cuaca dan penggunaan isi rumah boleh berubah,” katanya.
“Perubahan kadar AFA yang pada awalnya memberikan rebat sebelum berubah kepada surcaj mulai Mei 2026 turut menyebabkan rakyat mempersoalkan peningkatan bil yang diterima,” katanya.
Menurutnya, kadar AFA meningkat kepada +2.59 sen/kWh pada Jun, +3.59 sen/kWh pada Julai, +3.80 sen/kWh pada Ogos dan +3.67 sen/kWh pada September 2026.
Kata beliau orang ramai pelik penggunaan elektrik hampir sama, namun jumlah bil semakin tinggi.
Beliau juga berkata, penjelasan kerajaan mengenai peningkatan bil elektrik perlu dibuat segera berdasarkan fakta dan tidak sekadar menuding jari kepada TNB.
Katanya, TNB sebelum ini menjelaskan AFA bukan caj tambahan baharu sedangkan sejak Julai 2025, pengguna menerima jumlah rebat AFA yang lebih besar berbanding surcaj.




0 Comments